Maklum balas daripada lebih 700 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat, seperti kumpulan kariah masjid dan penduduk Tampines, telah diperoleh bagi mencipta reka bentuk masjid baharu di Tampines North yang dijadual dibuka pada 2029.

Para peserta telah didekati menerusi beberapa sesi rundingan anjuran jawatankuasa yang dilantik Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) antara September 2025 dengan Februari 2026.

Mereka telah mengetengahkan pelbagai saranan, antaranya, agar kemudahan masjid baharu itu memenuhi keperluan golongan belia, keluarga muda serta penduduk warga emas.

Ini di samping ruang untuk pembelajaran agama, kegiatan masyarakat serta khidmat tertumpu kepada keluarga dan prasarana yang mudah diakses.

Bercakap kepada media semasa majlis pendedahan reka bentuk masjid baharu itu pada 20 November di Masjid Darul Ghufran, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, berkata adalah penting bagi reka bentuk masjid tersebut memenuhi keperluan golongan penduduk yang pelbagai di Tampines.

“Apa yang lebih bermakna adalah masyarakat kita sendiri turut memainkan peranan untuk membangunkan masjid ini.

“Kami telah mendengar suara dan aspirasi mereka dan juga mengambil (kira) maklum balas mereka untuk memastikan reka bentuk masjid ini benar-benar memenuhi keperluan masyarakat… Inilah semangat di sebalik ‘Satu Masjid untuk Semua’,” kata Encik Zaqy.

Beliau juga berharap masjid itu bukan sahaja dapat menyediakan ruang ibadah yang lebih dekat dengan penduduk, malah dapat merapatkan penduduk dengan program yang bakal ditawarkan di masjid itu.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Encik Zaqy turut berharap masjid itu dapat memupuk rasa kekitaan dalam kalangan keluarga yang sedang mula membina kehidupan di kejiranan Tampines North.

Sentimen itu dikongsi oleh Pengerusi Eksekutif Jawatankuasa Masjid di Tampines North, Ustaz Firdaus Khan Jamal Khan.

“Selain menyediakan ruang solat, kami ingin mewujudkan persekitaran yang mesra dan selesa di mana keluarga, belia dan warga emas dapat berhimpun bersama.

“Kami amat bersyukur kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada arah menjayakan pembinaan masjid baharu di Tampines North,” kata Ustaz Firdaus.

Beliau menekankan bahawa maklum balas lebih 700 peserta itu amat penting dalam membentuk reka bentuk masjid yang memenuhi keperluan keluarga muda, belia dan warga emas.

Sekitar 120 orang turut berpeluang berkongsi maklum balas dan harapan bagi masjid baharu itu di dalam talian, tambahnya.

“Kami berharap dapat meneruskan semangat penglibatan komuniti ini melalui usaha pengumpulan dana dan kerja-kerja sukarelawan.

“Akhirnya, kami ingin masyarakat merasai ikatan yang kuat terhadap masjid ini,” ujar Ustaz Firdaus.

Terdapat juga papan yang didirikan di Masjid Darul Ghufran untuk para pengunjung menulis harapan mereka di kertas kecil.

Menerusi tinjauan Berita Harian (BH), antara harapan yang dikongsi termasuk lebih ruang khas untuk menganjurkan kegiatan belia dan kanak-kanak, bilik untuk menjaga bayi serta ruang untuk bersenam.

Terdapat juga individu yang mengalu-alukan program untuk keusahawan Islam dan kelas agama pelbagai topik.

Sementara menantikan siapnya masjid itu, jawatankuasa yang dilantik oleh MUIS akan berusaha untuk mengumpul sekitar $4 juta dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Sumbangan itu akan menampung keperluan perabot, kelengkapan dan peralatan masjid yang bakal dibina, jelas Ustaz Firdaus.

“Ini akan membantu kami melengkapkan masjid dengan kemudahan yang diperlukan untuk menyokong pembelajaran agama, program belia dan aktiviti masyarakat,” kata Ustaz Firdaus.