PEGAWAI Pusat Pemeriksaan dan Imigresen (ICA) telah berjaya mematahkan dua kes rokok tanpa cukai yang cuba diseludup dalam lori berdaftar Malaysia di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 28 September lalu.
Kes pertama dikesan sekitar 4 pagi apabila pegawai ICA mendapati sesuatu yang tidak kena dalam imej imbasan sebuah lori yang didaftar di Malaysia itu.
Setelah diperiksa lanjut, 5,059 karton rokok tanpa cukai ditemui tersembunyi dalam konsainan tisu gulung, kata kenyataan ICA pada Khamis (1 Oktober).
Sekitar 10 minit kemudian, lagi 2,500 karton rokok tanpa cukai ditemui dalam satu lagi lori Malaysia yang disembunyikan dalam muatan mengandungi nanas.
ICA berkata cukai GST yang cuba dielak dalam dua kes tersebut masing-masing berjumlah $656,299 dan $52,981.
Tiga warga Malaysia berusia 22, 25 dan 41 tahun telah diserahkan kepada Kastam Singapura untuk siasatan lanjut, tambah ICA.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg