Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 782,000 warga S’pura lahir pada atau sebelum 1976 akan terima tokokan CPF hingga $1,500
Lebih 782,000 warga S’pura lahir pada atau sebelum 1976 akan terima tokokan CPF hingga $1,500
Lebih 782,000 warga S’pura lahir pada atau sebelum 1976 akan terima tokokan CPF hingga $1,500
Lebih 782,000 warga Singapura yang lahir pada atau sebelum 1976 akan menerima suntikan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) sehingga $1,500 menjelang 8 Disember.
Tokokan itu bertujuan untuk “menyokong warga emas yang mungkin menghadapi cabaran dalam membina simpanan persaraan mereka”, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPFB) dalam satu kenyataan bersama pada 20 November.
Berjumlah $1.04 bilion, suntikan CPF itu pertama kali diumumkan pada Belanjawan 2026.
Untuk layak menerima tokokan itu, seseorang mestilah warga Singapura yang lahir pada 1976 atau sebelum dan menetap di Singapura. Mereka juga perlu memenuhi syarat berikut setakat 31 Disember 2025.
Tiga syaratnya ialah mereka harus mempunyai simpanan persaraan CPF di bawah Jumlah Persaraan Asas (BRS) 2026 iaitu $110,200, memiliki tidak lebih daripada satu hartanah dan menetap di kediaman dengan nilai tahunan tidak melebihi $31,000.
Jumlah sokongan yang diberikan akan ditetapkan mengikut tahap, berdasarkan simpanan persaraan CPF penerima dan nilai tahunan rumah mereka.
Penerima akan menerima $1,500 jika mereka tinggal di kediaman dengan nilai tahunan sehingga $21,000, dan mempunyai simpanan persaraan CPF kurang daripada $60,000.
Penerima akan menerima $1,000 jika mereka tinggal di kediaman dengan nilai tahunan sehingga $21,000, dan mempunyai simpanan persaraan CPF antara $60,000 dan $110,200.
Penerima akan menerima $500 jika mereka tinggal di kediaman dengan nilai tahunan antara $21,000 dan $31,000.
Simpanan persaraan CPF akan dikira berdasarkan jumlah baki Akaun Persaraan dan Pendapatan Sepanjang Hayat Bagi Orang Yang Lanjut Usia (CPF Life), atau jumlah baki Akaun Biasa (OA) dan Akaun Khas sekiranya Akaun Persaraan masih belum diwujudkan.
Warga Singapura yang layak dan berusia 55 tahun ke atas akan menerima tokokan itu dalam Akaun Persaraan mereka. Mereka yang berusia di bawah 55 tahun akan menerimanya dalam Akaun Khas mereka.
Tokokan itu akan meningkatkan kadar faedah CPF dalam akaun berkenaan, sekali gus membantu penerima menambah simpanan persaraan mereka, menurut kenyataan itu.
Ia akan dimasukkan secara automatik ke dalam akaun CPF penerima yang layak, tanpa sebarang tindakan diperlukan.
Mereka yang layak akan dimaklumkan menerusi mesej pesanan ringkas (SMS) sebaik sahaja dana dimasukkan. Mereka yang tidak mendaftarkan nombor telefon bimbit dengan Singpass akan menerima surat ke alamat kediaman berdaftar mereka.
Dalam ucapan Belanjawannya pada 12 Februari, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata memandangkan penduduk Singapura semakin menua, pemerintah akan menyediakan lebih banyak sokongan untuk warga emas supaya mereka dapat menua dengan selamat dan tenang.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web govbenefits.gov.sg.