BANK DBS pada Isnin (18 Mei) mengumumkan yang ia sedang membantu lebih 800 peniaga di wadah bazar dalam talian, BazaarRia, untuk menerima bayaran serta-merta daripada pelanggan yang membeli barangan mereka.
Dalam satu kenyataan, DBS berkata kebanyakan kaedah pembayaran bazar dalam talian cuma menerima pembayaran kad kredit. Ini menjadi halangan kepada satu dalam empat warga Singapura yang tidak mempunyai kad kredit, dan juga mengehadkan bilangan pelanggan yang boleh dijangkau peniaga. BazaarRia bagaimanapun menggunakan sistem pembayaran yang disepadukan dengan DBS MAX, yang merupakan huraian pengumpulan bayaran peniaga digital. Disebabkan itu, kad kredit tidak diperlukan bagi pembayaran dan pelanggan boleh membayar menerusi pemindahan bank serta-merta menerusi telefon bimbit. Pelanggan hanya perlu menggunakan telefon bimbit untuk mengimbas kod QR PayNow yang dikeluarkan secara automatik di laman pembayaran BazaarRia, dan pembayaran akan serta-merta dihantar ke peniaga, menyelesaikan penjualan dalam masa beberapa saat. Pengerusi dan ketua pegawai eksekutif pembangun wadah bagi BazaarRia, Mi Planets, Encik Abu Bakar Mohd Nor, berkata: "Kami gembira yang dengan sokongan bank, kami dapat menyepadukan DBS MAX ke dalam BazaarRia hanya dalam satu bulan, walaupun terdapat cabaran dalam tempoh pemutus rantaian jangkitan yang dilanjutkan ini," katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg