SEKURANG-kurangnya 877 orang telah menjadi mangsa kepada penipuan melibatkan pembeli palsu dalam platform Carousell sejak awal bulan lalu, dengan kerugian keseluruhan berjumlah sekitar $836,000.

Ini merupakan lonjakan berbanding sebulan sebelum itu, di mana terdapat sekurang-kurangnya 352 mangsa sedemikian, kata polis.

Sekurang-kurangnya 975 mangsa telah ditipu dalam penipuan pancingan data itu antara Januari dengan November tahun lalu, dengan sekurang-kurangnya $938,000 lesap.

Menurut polis, mereka menyaksikan kegiatan penipuan sedemikian yang melonjak.

Penipu akan berlagak sebagai pembeli yang akan bertanyakan si penjual bagi butiran kontak agar mereka dapat menghantar pautan kepada satu laman bagi menyelaras pembayaran atau penghantaran barangan yang dijual.

Penipu kemudian akan menghantar mangsa menerusi e-mel, Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) atau mesej WhatsApp dengan pautan URL yang mencurigakan, seperti utt.ly/31uXCDu atau carousell.quick-funds.in/266780736.

Secara alternatif penipu akan menghantar kod QR kepada mangsa untuk membuat imbasan.

Selepas berbuat demikian, mangsa akan disalur ke satu laman palsu bagi menawarkan maklumat seperti butiran login perbankan Internet, kad bank atau laluan sekali guna (OTP).

Mereka hanya menyedari yang mereka telah ditipu selepas mengesan transaksi yang tidak diluluskan dibuat daripada akaun-akaun bank mereka, kata polis.

Polis menasihatkan pembeli agar mengesahkan identiti pembeli dengan memeriksa status verifikasi akaun Carousell si pembeli itu, tarikh akaun dihasilkan, semakan dan penilaian.

Penjual juga patut mengesahkan URL.

Hanya domain yang berakhir dengan carousell.com atau carousell.sg merupakan domain Carousell, sedangkan URL lain seperti carousellpay.com, carousell.xxx.com, carousell-pay.com, carousell.pay-sg.com bukan domain daripada platform tersebut.

"Carousell tidak menghantar pautan menerusi SMS dan hanya akan menghantar OTP menerusi SMS.

"OTP ini hanya patut dimuat naik pada aplikasi atau laman Carousell," kata polis.

"Carousell tidak menghantar pautan menerusi SMS dan hanya akan menghantar OTP menerusi SMS. OTP ini hanya patut dimuat naik pada aplikasi atau laman Carousell." - Polis.