SEORANG lelaki dan dua rakan subahatnya mencipta lebih daripada 200 syarikat selubung (shell company) untuk mendapatkan geran produktiviti, secara tidak sah memperoleh lebih $11.8 juta daripada Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras).

Pada Isnin (7 Mac), Lim Chit Foo, kini 38 tahun, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun empat bulan. Warga Singapura itu telah mengaku bersalah atas 20 tuduhan menipu pada Januari. Mahkamah diberitahu bahawa dia mempunyai dua rakan sejenayah - Wang Jiao, 39 tahun, dan Li Dan, 38 tahun. Sekitar April 2015, Lim merancang membuat tuntutan palsu di bawah skim Kredit Produktiviti dan Inovasi (PIC), yang memberi bayaran tunai dan bonus kepada syarikat yang layak untuk merangsang produktiviti. Dari 2015 hingga 2016, ketiga-tiga mereka menubuhkan lebih 200 syarikat selubung dan membayar orang untuk menjadi pengarah penama. Tuntutan palsu telah dikemukakan di bawah skim PIC untuk perbelanjaan palsu yang ditanggung oleh syarikat selubung dalam bentuk pembelian sistem berasaskan Web dan sofwe. Siasatan mendapati terdapat lebih 400 permohonan PIC yang dikemukakan oleh syarikat selubung antara 2015 dengan 2016. Dalam prosiding awal, Timbalan Pendakwa Raya, Encik Eric Hu, memberitahu mahkamah bahawa hanya sekitar $455,000 dana telah diperoleh semula setakat ini. Beliau menambah bahawa Iras akan mengeluarkan lebih $8,487,000 kepada penipu sekiranya permohonan PIC mereka untuk tuntutan-tuntutan ini berjaya. Bagi setiap tuduhan bersubahat melalui konspirasi untuk melakukan penipuan, pesalah boleh dipenjara hingga 10 tahun dan denda. Kes melibatkan Wang dan Li masih belum selesai.