Lebih 900 penjaga bagi individu berkeperluan khas, yang tidak tergolong dalam sebarang kumpulan sokongan penjaga sebelum ini, telah dibantu sepanjang dua tahun lalu.
Golongan itu merupakan sebahagian daripada lebih 3,900 penjaga individu berkeperluan khas yang dibantu Projek 3i sejak inisiatif itu ditubuhkan pada 2021.
Projek itu dimulakan oleh kumpulan sokongan, CaringSG.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, memberikan maklumat terkini mengenai Projek 3i itu semasa di acara National CARECarnival pada Sabtu, yang diadakan di Enabling Village di Lengkok Bahru.
Karnival itu diterajui SG Enable dan CaringSG. Ia merupakan sebahagian daripada acara ‘National CARECarnival and Conference’ yang diadakan pada November, untuk memperkukuh bantuan untuk golongan penjaga.
Pada Sabtu, pelbagai agensi perkhidmatan sosial dan perusahaan sosial mendirikan reruai di karnival itu, dan mengendalikan bengkel dan sesi ceramah untuk berkongsi sumber bersama penjaga dan orang yang mereka sayangi.
“Bagi kebanyakan keluarga, penjagaan adalah tanda kasih sayang dan pengorbanan. Kami tidak mempersoalkan keperluan untuk berbuat demikian. Ia juga satu komitmen yang hebat dan penuh tekanan.
“Kamu tidak bersendirian dalam perjalanan ini. Sila berhubung dengan rakan-rakan penjaga yang saya pasti akan berkongsi pengalaman dan panduan mereka dengan anda,” kata Encik Lee.
Dua lagi karnival serupa akan diadakan di Kampung Admiralty pada 18 November dan Heartbeat@Bedok pada 25 November.
Dalam ucapannya, Encik Lee mengetengahkan pencapaian Projek 3i, satu rangkaian untuk menyediakan para penjaga dengan sumber-sumber yang dikongsi bersama.
Kumpulan di sebalik projek itu, CaringSG, dimulakan sekumpulan penjaga orang berkeperluan khas semasa pandemik Covid-19 untuk menyokong satu sama lain.
Projek 3i menyediakan khidmat teman khusus untuk penjaga, dan menawarkan sokongan profesional seperti perkhidmatan terapeutik dan kaunseling, antara lain.
Bagi golongan penjaga yang tidak berada dalam mana-mana kumpulan sokongan penjaga sebelum ini, individu yang mereka jaga mungkin menerima bantuan, tetapi penjaga itu sendiri tidak mempunyai rangkaian sokongan.
Bermula dengan dua usaha perintis di Boon Lay dan Kampong Gelam, Projek 3i telah diperluaskan ke empat daerah lagi: Bukit Batok East, Nanyang, Pioneer dan Telok Blangah.
Encik Lee, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial, berkata penilaian yang dibuat ke atas Projek 3i baru-baru ini oleh Pusat Bukti dan Pelaksanaan mendedahkan bahawa para penjaga meraih lebih banyak pengetahuan dan pemahaman mengenai perjalanan penjagaan menerusi projek tersebut.
Mereka juga menjadi lebih terhubung dengan masyarakat dan keadaan keluarga mereka bertambah baik.
Lebih 100 sukarelawan masyarakat dan penjaga yang berpengalaman telah dilatih untuk membantu rakan-rakan penjaga.
Encik Lee berkata sedang masyarakat menua dan penjagaan menjadi lebih rumit serta mencabar, mempunyai masyarakat yang menyokong penjaga adalah sangat penting.
Bagi sesetengah penjaga, tidak ada apa-apa lagi dalam hidup mereka tetapi untuk memberi kepada orang yang mereka ambil berat, kata beliau.
Encik Lee mengingatkan golongan penjaga supaya menjaga diri mereka juga, supaya mereka akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menjaga orang yang mereka sayangi.
Cik Farah Juwita, 44 tahun, merupakan ibu enam anak dengan anak bongsu, Mohamed Ilhanshah Kamarudin, 10 tahun, yang disahkan menghidap autisme sekitar enam tahun lalu.
Beliau berkata beliau patah hati dan tidak tahu di mana untuk mencari sokongan.
Pekerja sosial menghubungkan beliau dengan bantuan profesional, tetapi Cik Juwita berkata beliau mahu berhubung dengan rakan-rakan penjaga yang lain.
Cik Juwita, seorang suri rumah, berkata:
“Saya tahu bahawa mereka yang profesional banyak pengetahuan, tetapi saya ingin mendengar dari seorang rakan penjaga yang telah melalui pengalaman. Karyawan dilatih, tetapi perasaannya berbeza.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg