LEBIH 9,500 individu telah menandatangani petisyen dalam talian yang meminta Universiti Nasional Singapura (NUS) membalikkan keputusan menggabungkan Maktab Yale-NUS dengan Program Cendekiawan Universiti (USP).
Ia juga menggesa bagi pembalikan dua lagi penyatuan antara Fakulti Kejuruteraan dan Sekolah Reka Bentuk dan Sekitaran bagi membentuk Maktab Reka Bentuk dan Kejuruteraan; dan gabungan Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan serta Fakulti Sains bagi membentuk Maktab Kemanusiaan dan Sains.
Secara berasingan, akhbar The Straits Times difahamkan pelajar dan alumni Yale-NUS telah bertemu pihak pentadbiran sekolah dalam satu dialog bagi membincangkan gabungan itu pada petang Selasa (31 Ogos).
Hos petisyen berkenaan adalah laman wadah petisyen, change.org dan bertajuk #NoMoreTopDown. Ia dilampirkan dengan kenyataan daripada sekumpulan mahasiswa NUS dari pelbagai fakulti yang identitinya tidak didedahkan. The Straits Times telah menghubungi penganjur petisyen bagi mendapatkan komen.
Ia menjelaskan keputusan NUS menggabungkan fakulti-fakulti ini kurang ketelusan dan rundingan dengan kedua-dua fakulti dan mahasiswa. Langkah itu juga dirasakan akan membawa impak negatif pada mutu pendidikan di NUS dan menunjukkan kegagalan bagi menjaga kebajikan kakitangan dan pelajar.
Keputusan menggabungkan Yale-NUS dengan USP diumumkan Jumaat lalu. Maktab itu juga akan berhenti mengambil pelajar baru dengan kelompok pelajar terakhir akan tamat pengajian pada 2025.
Langkah ini menamatkan jalinan 11 tahun antara NUS dengan Yale, sebuah universiti terbilang Ivy League di Amerika Syarikat, yang menyediakan pendidikan seni bebas di Singapura, yang pertama di negara ini.
Pengumuman itu disambut dengan rasa terkejut dan resah pelajar yang prihatin akan masa depan peribadi mereka dan kehilangan masyarakat inklusif dan progresif, lapor akhbar The Straits Times.
Rancangan menyatukan Fakulti Kejuruteraan dengan Sekolah Reka Bentuk dan Sekitaran diumumkan pada Jumaat lalu manakala gabungan Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan dengan Fakulti Sains diumumkan tahun lalu.
Mahasiswa kejuruteraan dan reka bentuk akan beralih kepada maktab baru ini pada Januari 2022, kata NUS, manakala kelompok pertama pelajar memasuki Maktab Kemanusiaan dan Sains tahun ini.
Tiga gabungan ini secara menyeluruh menjejas sekitar 18,000 mahasiswa atau separuh daripada kumpulan pelajar NUS, mengikut perangkaan dari lamannya.
Apa yang cuba diketengahkan petisyen ini adalah di sebalik hak mahasiswa dan kakitangan NUS dalam menentukan keputusan gabungan yang dibuat, mereka tidak dirujuk dalam proses ini dan hanya diberitahu hasil keputusan yang dibuat.
Petisyen itu juga menegaskan ketetapan NUS yang mensyaratkan penasihat dalam kalangan kakitangan dalam kumpulan pelajar dan memungkinkan tindakan disiplin dibuat ke atas mereka yang bersikap kritikal terhadap universiti menghalang penyertaan pelajar dalam proses membuat keputusan itu.
Penulis petisyen ini mendesak agar NUS membalikkan ketiga-tiga gabungan yang ingin dibuat dan membolehkan jawatankuasa semakan yang diwakili dengan perwakilan mahasiswa dari fakulti yang terjejas dibentuk secara demokratik sebelum mereka menentukan arah tuju isu ini lagi. - The Straits Times
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg