LEBIH banyak dana diperlukan untuk menyediakan tempat tinggal sementara, keperluan musim sejuk dan barangan asas lain bagi mangsa gempa di Turkey, kata pertubuhan bantuan kemanusiaan Mercy Relief.
Pertubuhan itu telah mengumpulkan dana lebih $180,000 buat masa ini dan memberikan 1,000 set makanan panas, 1,000 set pakaian musim sejuk dan 1,000 helai selimut kepada mangsa gempa di Elbistan, sebuah daerah di wilayah Kahramanmaras, di selatan Turkey.
"Tapi ini tidak mencukupi... sekitar 5,000 orang hadir untuk mendapatkan makanan panas dan saya jangka sekitar 10,000 orang hadir untuk menerima selimut dan pakaian musim sejuk."
"Ini bermakna ramai orang masih tidak mendapat keperluan asas," kata Pengerusi Mercy Relief, Encik Satwant Singh.
Elbistan, yang dihuni sekitar 140,000 orang, adalah daerah paling ramai penduduk di wilayah itu.
Rombongan Mercy Relief berada di Turkey sejak 14 Februari dan bekerjasama dengan rakan kongsi setempat, Hayrat Yardim, untuk menyediakan keperluan asas bagi mangsa gempa bumi.
Penyelaras antarabangsa di Haryat Yardim, Encik Hasan Abut berkata Elbistan terletak agak jauh dari bandar utama dan tidak menerima banyak bantuan daripada pertubuhan bukan pemerintah (NGO) tempatan.
Keadaan cuaca di Elbistan, yang bersalji bermakna permintaan bagi selimut dan pakaiam musim sejuk adalah tinggi.
Ketika Berita Harian (BH) berada di sana sekitar 2 petang pada 18 Februari, suhu mencecah 4 darjah Celsius dan dijangka turun ke bawah sifar darjah Celsius di sebelah malam.
Semasa Mercy Relief membahagikan pakaian musim sejuk dan selimut, beberapa orang tergesa-gesa dan enggan beratur kerana terdesak, kata anggota Pengarah Lembaga Mercy Relief, Encik Mejar Singh Gill.
"Melihat mata mereka... mereka amat terdesak," kata Encik Mejar Singh, yang pernah bekerja sebagai seorang kaunselor di Kementerian Ehwal Luar.
Encik Satwan Singh merayu agar lebih ramai orang menderma supaya rakyat Turkey berpeluang memulakan semula kehidupan mereka.
"Ia memerlukan usaha dan bantuan daripada seluruh dunia untuk membantu Turkey menghadapi masa yang sukar ini," ujar beliau.
"Apa yang patut kita lakukan adalah membantu, walaupun hanya sedikit."
Mereka yang ingin menderma boleh berbuat demikian dan mendapatkan butiran lanjut di www.mercyrelief.org/donate/


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg