Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih banyak lawatan menteri ke kawasan undi bagi dengar suara rakyat
Lebih banyak lawatan menteri ke kawasan undi bagi dengar suara rakyat
RAKYAT Singapura akan melihat lebih banyak menteri mengunjungi kedai kopi, kolong blok dan kedai di kejiranan sedang pemerintah memulakan siri perbincangan untuk mendengar pandangan orang ramai mengenai pelbagai isu.
Menteri Pelajaran Ong Ye Kung mendedahkan rancangan itu ketika beliau selesai melawat Jurong Central pada Ahad (15 Julai), bersama Menteri Tenaga Kerja Josephine Teo dan Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong.
Lawatan Ahad tiga menteri itu berlainan daripada lawatan pada masa lalu yang biasanya melibatkan seorang menteri sahaja.
Encik Ong menyifatkan format baru itu sebagai sebahagian daripada usaha lebih besar, diumumkan pada bulan Mei, bagi lebih memahami isu-isu yang dihadapi rakyat.
Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata semasa Parlimen dibuka semula pada Mei selepas rehat, pemerintah akan memulakan siri perbincangan melibatkan segmen masyarakat berbeza, dan memberi rakyat Singapura peranan melaksanakan idea.
Pada Ahad, Encik Ong berkata siri perbincangan "boleh berbentuk formal seperti dialog, ia juga boleh berbentuk tidak formal melibatkan lebih banyak menteri berjalan, bercakap kepada penduduk di kedai kopi".
"Itu juga merupakan cara yang bermakna mengadakan siri perbincangan," tambah Encik Ong, yang bertanggungjawab menyelaras lawatan menteri ke kawasan undi.
Menyertakan beberapa menteri dalam lawatan itu memberi lebih banyak peluang kepada penduduk bercakap dengan menteri secara langsung, katanya.
"Semasa kami berjalan tadi, anda dapat lihat penduduk dengan kanak-kanak datang dan bercakap dengan saya tentang kerja sekolah mereka, mengenai tuisyen, mengenai permohonan ke politeknik. Terdapat juga mereka yang mencari pekerjaan, mereka bercakap dengan menteri Josephine Teo, dan mereka yang menghadapi masalah HDB mereka bercakap dengan menteri Lawrence Wong, "katanya.
Selepas lawatan, para menteri juga akan bertukar maklumat bagi mendapatkan pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai isu-isu yang dihadapi masyarakat, tambahnya.
Ditanya sama ada lawatan tersebut akan disemak pada penggal separuh kedua pemerintah yang menjurus kepada pilihan raya umum 2021, Encik Ong berkata: "Melangkah ke hadapan, saya akan timbangkan jika kita boleh melibatkan lebih banyak menteri dan meningkatkan lawatan. Dengan demikian, kita boleh bercakap dengan lebih ramai penduduk. "