PENGUNJUNG yang melawat Sembcorp Cool House di Taman Orkid Negara mungkin merasakan diri mereka dibawa ke konservatori sejuk atau "hutan awan" dengan udara dingin, air terjun dan orkid dari serata negara.
Kemudahan itu merupakan satu daripada permata Tropical Montane Orchidetum baru, yang dibuka oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong semalam.
Ia dilancarkan selepas kerja peningkatan menyeluruh pada Taman Orkid Negara yang dikendalikan Lembaga Taman Negara (NParks) mulai 2017 dan menelan belanja sekitar $35 juta.
Kerja-kerja peningkatan itu dijangka siap pada 2019 tetapi tertangguh ekoran rekaan dan cabaran teknikal serta pandemik Covid- 19.
Tempat tarikan itu direka untuk mereplikasikan simulasi pengalaman mendaki hutan pergunungan tropikal dan menampilkan orkid serta tumbuh-tumbuhan lain.
Hutan pergunungan atau 'montane' yang juga dikenali sebagai hutan awan, mencerminkan rupa bumi yang didapati di kawasan pergunungan, sebuah sekitaran yang tidak didapati di Singapura.
Sembcorp Cool House direka untuk meniru hutan pergunungan yang hanya terdapat pada ketinggian antara 1,000 meter dengan 2,000 meter, dengan suhu antara 16 darjah Celsius dengan 23 darjah Celsius.
Hutan pergunungan tinggi merupakan antara ekosistem paling terancam di dunia.
Orkid yang terdapat di hutan itu termasuk spesis yang khusus kepada sesebuah rantau dan tidak boleh didapati di sebarang negara lain.
Memasuki Taman Orkid Negara adalah percuma bagi rakyat, penduduk tetap dan mereka yang tinggal di Singapura termasuk pemegang pas kerja antara 3 dengan 11 April.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, yang turut menghadiri majlis pembukaan itu semalam berkata:
"Peningkatan itu membolehkan NParks terus meluaskan lagi keupayaannya dalam pembiakan orkid, pemuliharaan dan penyelidikan yang akan memanfaatkan kedua-dua Singapura dan dunia.
"Ini merupakan contoh terbaik bagaimana Singapura dapat melebihi keupayaannya dan memainkan peranan dalam usaha pemuliharaan biodiversiti global."
Menurutnya kebanyakan orkid ini diancam ekoran kehilangan habitat dan perubahan iklim.
Justeru, selain membolehkan pengunjung menghargai orkid yang jarang dijumpai ini, ia juga memainkan peranan penting dalam usaha pemuliharaan orkid yang kian terancam.
Sebanyak 1,500 jenis spesis orkid dan 3,000 jenis hibrid orkid terdapat di Taman Orkid Negara, kenaikan 50 peratus daripada sebelum bermulanya kerja-kerja peningkatan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg