Lebih banyak peluang bagi kanak-kanak memasuki sekolah pilihan
Lebih banyak peluang bagi kanak-kanak memasuki sekolah pilihan
Empat puluh tempat akan diperuntukkan bagi kanak-kanak yang tidak berpeluang mendapatkan tempat melalui kemasukan utama untuk murid Darjah 1 mulai tahun depan, menurut pengumuman Kementerian Pendidikan (MOE) Khamis (9 September).
Jumlah tersebut dua kali ganda tempat yang disediakan buat masa kini semasa Fasa 2C dalam kemasukan tahunan tersebut yang dibuka bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sekolah tersebut.
Keutamaan diberikan kepada mereka yang tinggal berhampiran.
Program tahunan biasanya merangkumi tujuh fasa dan fasa awal akan diperuntukkan bagi kanak-kanak yang mempunyai kaitan dengan sekolah tersebut, sama ada dengan adik beradik di sekolah itu atau ibu bapa yang terlibat dengan rangkaian sekolah.
Untuk menyediakan lebih banyak ruang dalam Fasa 2C, MOE berkata ia akan menggabungkan dua fasa bagi alumni iaitu Fasa 2A(1) dan 2A(2).
Fasa 2A(1) diperuntukkan bagi kanak-kanak dengan ibu bapa yang terlibat dengan persatuan alumni sekolah tersebut atau merupakan anggota jawatankuasa pengurusan atau penasihatnya.
Fasa 2A(2) pula diperuntukkan bagi anak kepada alumni yang bukan anggota persatuan; anak kakitangan sekolah itu dan kanak-kanak dari tadika MOE berdekatan.
Menurut MOE perubahan tersebut bertujuan untuk memastikan lebih ramai kanak-kanak yang mempunyai akses kepada sekolah berdekatan rumah mereka, tidak kira sama ada mereka mempunyai sebarang kaitan dengan sekolah itu sebelumnya.
Menurut data pendaftaran tahun ini, 32 sekolah rendah, atau 17.6 peratus daripada sekolah rendah di Singapura akan meraih manfaat daripada perubahan tersebut, kata MOE.

