Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih banyak pusat latihan bola sepak ditubuh dalam masyarakat jelang 2025

Jun 9, 2024 | 7:09 PM
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong (dua dari kanan), bermain bola sepak bersama kanak-kanak di acara menyambut ulang tahun ke-20 program Bola Sepak Masyarakat PAssion (PACF).
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong (dua dari kanan), bermain bola sepak bersama kanak-kanak di acara menyambut ulang tahun ke-20 program Bola Sepak Masyarakat PAssion (PACF). - Foto PA

Lebih banyak pusat yang menawarkan latihan bola sepak kepada kanak-kanak dan remaja akan ditubuhkan di bawah program Bola Sepak Masyarakat PAssion (PACF).

Dengan penaja POSB menjanjikan sokongan tambahan, Persatuan Rakyat (PA) sedang meninjau untuk meningkatkan bilangan pusat PACF aktif daripada 35 kepada 50 menjelang 2025.

Ini sekali gus membolehkan lebih 2,000 kanak-kanak bakal meraih manfaat daripada program itu setiap tahun.

Demikian diumumkan pada acara menyambut ulang tahun ke-20 PACF yang dihadiri Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.

Acara tersebut turut menyaksikan penyerahan cek bernilai $600,000 daripada POSB, serta kejohanan bola sepak kanak-kanak dengan penampilan istimewa penasihat akar umbi yang turut bermain perlawanan persahabatan dengan kanak-kanak itu.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong (tengah) menerima cek bernilai $600,000 yang diserahkan POSB. Wang tersebut akan dimanfaatkan sepanjang tiga tahun akan datang.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong (tengah) menerima cek bernilai $600,000 yang diserahkan POSB. Wang tersebut akan dimanfaatkan sepanjang tiga tahun akan datang. - Foto PA

Wang tersebut akan dimanfaatkan sepanjang tiga tahun akan datang.

Sepanjang 10 tahun lalu, POSB telah menyumbang sekitar $1.2 juta kepada program PACF melalui Dana POSB PAssion Kids dan telah memberi manfaat kepada lebih 20,000 peserta sejak beberapa tahun lalu.

“Melalui bola sepak, kita dapat menghubungkan masyarakat. Melalui bola sepak, kita dapat menghimpunkan semua orang – dari latar belakang yang berbeza, kejiranan yang berbeza, sekolah yang berbeza, semuanya bersatu di padang bola sepak,” kata Encik Tong.

Program PACF melibatkan kanak-kanak dan remaja lelaki dan perempuan berusia lima hingga 16 tahun melalui latihan bola sepak mingguan.

Ini memberi mereka peluang dan platform menjalin persahabatan dan mewujudkan ikatan dengan rakan peserta, tanpa mengira umur, bangsa dan latar belakang sosial.

Kanak-kanak bermain bola sepak di Stadium Negara sempena acara menyambut ulang tahun ke-20 program Bola Sepak Masyarakat PAssion (PACF). Program tersebut melibatkan kanak-kanak dan remaja lelaki dan perempuan berusia lima hingga 16 tahun melalui latihan bola sepak mingguan.
Kanak-kanak bermain bola sepak di Stadium Negara sempena acara menyambut ulang tahun ke-20 program Bola Sepak Masyarakat PAssion (PACF). Program tersebut melibatkan kanak-kanak dan remaja lelaki dan perempuan berusia lima hingga 16 tahun melalui latihan bola sepak mingguan. - Foto PA

Program itu, yang sebahagian besarnya disokong oleh sukarelawan dan rangkaian rakan kongsi, mencerminkan Semangat Kampung Singapura yang unik dan mengetengahkan nilai masyarakat yang terlibat.

Kebanyakan jurulatih dan pembantu yang menawarkan diri untuk menjalankan program itu terdiri daripada golongan ibu bapa, mantan peserta dan juga pemain dan jurulatih separuh profesional.

Program PACF akan meluaskan jangkauannya kepada masyarakat lebih luas dengan bekerjasama dengan organisasi masyarakat seperti Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC), Yayasan Mendaki dan Pusat Kebapaan di mana ia boleh memainkan peranan dalam menyediakan platform untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan melalui bola sepak.

Kata ketua POSB, Encik Nelson Neo:

“Manfaat bagi kanak-kanak yang melibatkan diri dalam aktiviti sukan adalah sangat luas – ia bukan sahaja membina kecergasan fizikal, bahkan memberikan faedah psikologi sambil mengajar mereka kemahiran hidup yang penting pada masa yang sama.

“Melalui program PACF, kami boleh membantu memupuk individu holistik yang akan membesar dan menyumbang semula secara positif kepada masyarakat masing-masing serta menggalakkan kepentingan mengeratkan ikatan melalui sukan dalam kalangan keluarga.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg