KAUM ibu dan wanita hamil, termasuk mereka yang berkeperluan khas dan ibu berusia remaja, akan mendapat lebih banyak sokongan bagi kesihatan mental mereka, dengan pelancaran satu garis panduan baru.
Dibangunkan bersama Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) serta Kolej Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Singapura, garis panduan Kesihatan Mental Perinatal yang dilancarkan Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Dr Janil Puthucheary, itu akan menawarkan nasihat yang menyeluruh dan tepat pada masanya bagi wanita daripada tahap sebelum hamil hingga selepas bersalin.
Berucap pada Sidang Kesihatan Keibuan dan Kanak-Kanak Asia Pasifik (APMCHC) dan Mesyuarat Antarabangsa Platform Bersepadu bagi Penyelidikan dalam Memajukan Hasil Kesihatan Keibuan dan Kanak-Kanak (Ipramho) di KKH pada Jumaat, Dr Janil berkata garis panduan itu menekankan pentingnya pemeriksaan bagi pengesanan awal dan rawatan masalah kesihatan mental dalam kalangan ibu.
"Ia juga menekankan manfaat langkah campur tangan awal dan sokongan bagi wanita yang berisiko mengalami isu kesihatan mental semasa hamil.
"Terdapat fokus tertentu untuk menyokong golongan yang mudah terjejas dan mungkin memerlukan lebih banyak bantuan seperti wanita berkeperluan khas, ibu berusia remaja dan mereka yang pernah melalui pengalaman perbidanan yang serius," ujarnya.
Sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan garis panduan itu, Dr Janil berkata KKH telah mengendalikan dua tinjauan yang melibatkan sekitar 600 wanita hamil dan wanita yang baru melahirkan anak serta lebih 50 pakar perbidanan dan sakit puan untuk memahami amalan sekarang dan kesedaran tentang kesihatan mental perinatal.
Salah satu daripada tinjauan itu mendapati bahawa kecelikan tentang kesihatan mental dalam kalangan wanita yang ditinjau itu boleh dipertingkat.
Ini lebih-lebih lagi dengan kadar tinggi wanita yang mengalami masalah kesihatan mental seperti keresahan dan kemurungan sebelum dan selepas bersalin.
Hampir kesemua wanita yang ditinjau itu berkata mereka sedar bahawa mereka boleh mengalami masalah kesihatan mental perinatal tetapi hanya dua pertiga daripada mereka tahu apakah tanda dan gejalanya.
Lebih tiga daripada lima wanita juga melaporkan bahawa mereka tidak pernah mendapatkan penilaian atau nasihat kesihatan mental daripada doktor mereka.
Dan hanya 16 peratus daripada mereka berkata mereka akan mendapatkan bantuan profesional jika mereka mengalami sebarang simptom.
Dr Janil berkata hasil tinjauan itu menunjukkan bahawa lebih banyak usaha perlu dijalankan untuk melengkapi wanita dan keluarga mereka dengan pengetahuan yang relevan untuk mengenal pasti perubahan dalam kesihatan mental mereka, tanda dan gejala asas masalah kesihatan mental seperti keresahan dan kemurungan, serta menggalak mereka mendapatkan bantuan jika perlu.
"Memang tepat pada masanya kita melancarkan dan menyebarkan tentang garis panduan kesihatan mental perinatal ini kepada karyawan penjagaan kesihatan dan orang awam.
"Kami harap garis panduan ini akan meninggalkan kesan pada wanita yang berhasrat menimang zuriat, sedang hamil atau baru bersalin, dan memberikan mereka sokongan kesihatan mental keibuan yang lebih baik," ujarnya.
PENGESANAN AWAL, RAWATAN PENTING
"Ia juga menekankan manfaat langkah campur tangan awal dan sokongan bagi wanita yang berisiko mengalami isu kesihatan mental semasa hamil. Terdapat fokus tertentu untuk menyokong golongan yang mudah terjejas dan mungkin memerlukan lebih banyak bantuan seperti wanita berkeperluan khas, ibu berusia remaja dan mereka yang pernah melalui pengalaman perbidanan yang serius." - Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Dr Janil Puthucheary.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg