Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih banyak sokongan bagi pelajar pekak di sekolah tentuan

Sep 20, 2016 | 2:49 PM
Nihal Muhd, 10 tahun, yang mengalami kehilangan pendengaran, mengangkat tangan dalam kelas di Sekolah Rendah MacPherson.
Nihal Muhd, 10 tahun, yang mengalami kehilangan pendengaran, mengangkat tangan dalam kelas di Sekolah Rendah MacPherson. - GAMBAR FAIL ST

PELAJAR kehilangan kedengaran akan mendapat lebih banyak sokongan daripada sekolah tentuan, kata Kementerian Pendidikan (MOE) dalam satu kenyataan pada Selasa (20 Sept).

Sekolah rendah dan menengah arus perdana tentuan akan membolehkan pelajar yang mengalami kehilangan pendengaran sederhana hingga teruk belajar dan bermain bersama-sama rakan-rakan arus perdana mereka di dalam dan luar kelas, ujar MOE.

Mulai tahun depan (2017), Sekolah Menengah Beatty akan mengambil pelajar menengah satu yang kehilangan pendengaran sederhana hingga teruk yang menggunakan bahasa isyarat. Ia akan menggantikan Sekolah Menengah Balestier Hill, antara sekolah yang tidak mempunyai kohort menengah satu tahun ini (2016) dan Sekolah Menengah Boon Lay sebagai sekolah menengah yang ditentukan bagi pelajar golongan itu.

Pada masa ini terdapat kurang 15 pelajar mengalami kehilangan pendengaran yang menggunakan bahasa isyarat di dua sekolah menengah yang ditentukan itu.

MOE berkata dalam kenyataannya: "Dengan bilangan kecil pelajar ini, menempatkan mereka di sebuah sekolah menengah tunggal tentuan akan menyediakan mereka dengan kesedaran berkomuniti lebih tinggi, dengan lebih banyak peluang komunikasi bersama melalui bahasa isyarat, interaksi sosial dan sokongan rakan sebaya. Ini juga akan membolehkan pengemblengan lebih baik dan pengukuhan sumber khusus dalam satu lokasi."

Pada peringkat rendah, mulai 2018, murid yang mengalami kehilangan pendengaran juga akan dimasukkan ke sebuah sekolah rendah tentuan di satu lokasi pusat. Pada masa ini, mereka menghadiri Sekolah Lighthouse atau Sekolah Canossian, kededuanya sekolah Pendidikan Khas.

Sekolah-sekolah tentuan ini mempunyai guru terlatih untuk menyokong pelajar kehilangan pendengaran, dengan cara seperti tafsiran isyarat, sokongan emosi sosial dan bantuan dalam penggunaan alat teknologi bantuan, kata MOE.

Kementerian itu juga akan terus memanfaatkan kepakaran Persatuan Orang Pekak Singapura (SADeaf) untuk meningkatkan bilangan kakitangan terlatih di sekolah.

Menteri Negara (Pendidikan), Dr Janil Puthucheary, berkata usaha ini adalah lanjutan program sokongan yang kementerian itu sediakan bagi pelajar sedemikian.

"Memberi pelajar peluang berinteraksi dengan dan belajar daripada satu sama lain adalah satu langkah yang sangat menggalakkan ke arah mewujudkan masyarakat lebih inklusif," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg