Majikan di Singapura yang menggajikan golongan kurang upaya akan menerima lebih banyak bantuan kewangan, termasuk melalui peningkatan subsidi gaji dan geran baru bernilai $30 juta bagi menggalak amalan pengambilan pekerja yang lebih inklusif.

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata pemerintah akan memperuntukkan sekitar $30 juta bagi geran tambahan yang dikenali sebagai Geran Pemerkasaan Pekerjaan(EEG) Sokongan Dipertingkat (S-EEG).

Geran itu bertujuan menyokong syarikat yang menggajikan bilangan pekerja kurang upaya yang bermakna, khususnya mereka yang memerlukan tahap sokongan sederhana.

Berucap di majlis Anugerah Enabling Mark 2026 pada 10 November, Encik Ong berkata pengambilan pekerja sedemikian harus menjadi amalan biasa dalam industri dan bukan sekadar bergantung kepada keprihatinan atau niat baik majikan.

Namun, beliau mengakui majikan berdepan cabaran praktikal, termasuk kos perniagaan yang meningkat serta perbelanjaan tambahan untuk menyesuaikan tugas dan mengubah suai tempat kerja bagi memenuhi keperluan pekerja kurang upaya.

“Jika kita mahu majikan melakukan lebih banyak lagi, pemerintah harus bersedia membantu menampung sebahagian kos ini,” kata Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial.

Geran S-EEG merupakan sebahagian daripada EEG yang menggabungkan tiga skim sedia ada bagi memudahkan proses permohonan.

Skim baru itu dijangka dilancarkan pada separuh pertama 2027.

Majikan boleh menggunakan EEG untuk membiayai usaha ke arah mewujudkan tempat kerja yang inklusif, seperti menyesuaikan latihan dalaman untuk golongan orang kurang upaya .

Secara berasingan, Setiausaha Parlimen Kanan (Undang-Undang merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, mengumumkan beberapa penambahbaikan kepada skim Kredit Menyokong Pengambilan Pekerja Kurang Upaya (EEC).

Skim itu menyediakan subsidi gaji bagi menggalak majikan mengambil pekerja kurang upaya.

Mulai Januari 2027, had pendapatan bulanan yang melayakkan pekerja menerima subsidi itu akan dinaikkan daripada $4,000 kepada $5,000, sekali gus membolehkan lebih ramai pekerja mendapat manfaat.

Bagi pekerja sedemikian yang tidak bekerja sekurang-kurangnya enam bulan sebelum diambil bekerja, subsidi gaji sementara akan dinaikkan daripada 20 peratus kepada 30 peratus, dengan had maksimum bayaran meningkat daripada $400 kepada $600 sebulan.

Tempoh pemberian subsidi sementara itu juga akan dilanjutkan daripada sembilan bulan kepada 12 bulan.

Bayaran di bawah skim EEC pula akan dibuat setiap suku tahun berbanding setiap enam bulan sebelum ini.

Bayaran suku tahunan pertama dijadualkan pada Disember 2027 bagi gaji yang dibayar antara Julai dengan September 2027.

Insentif kewangan ini merupakan sebahagian daripada pelbagai langkah sokongan untuk golongan kurang upaya yang diperkenalkan oleh Pasukan Petugas Jaminan bagi Keluarga dengan Orang Kurang Upaya

Pada Oktober, pasukan petugas tersebut telah mengeluarkan satu laporan yang merangkumi beberapa bidang, termasuk pendidikan dan pekerjaan, di mana golongan kurang upaya boleh mendapatkan lebih banyak sokongan.

Melalui pasukan petugas ini, Encik Chua berkata beliau telah mendengar harapan ibu bapa agar anak-anak mereka yang kurang upaya dapat memperoleh pekerjaan yang sesuai selepas tamat persekolahan.

Beliau menambah bahawa pihak majikan juga mempunyai persoalan, antaranya mengenai cara untuk mempersiapkan pasukan kerja mereka bagi pengambilan pekerja dalam kalangan golongan kurang upaya.

Antara inisiatif pasukan petugas tersebut ialah penubuhan Pejabat Sokongan Pekerjaan baharu yang dikendalikan oleh SG Enable, yang akan membantu golongan sedemikian serta majikan dalam menguruskan hal-hal berkaitan pekerjaan.