Lebih banyak syarikat kecil dan sederhana (SME) di Singapura akan menerima sokongan untuk menyepadukan kecerdasan buatan (AI) ke dalam proses mereka.
Perkongsian baru antara Microsoft, Enterprise Singapore (EnterpriseSG) dengan institut penyelidikan AI Singapore (AISG) telah diumumkan pada 21 Mei di hotel Pan Pacific Singapore.
Dalam pada itu, ia akan membantu lebih 1,000 SME tempatan meningkatkan penghasilan mereka menggunakan Microsoft Copilot, pembantu AI yang diperkenalkan pada 2023 yang boleh digunakan dalam aplikasi Microsoft seperti PowerPoint dan Word.
EnterpriseSG akan memberi subsidi 50 peratus daripada kos lesen Microsoft Copilot untuk SME yang layak selama tempoh 12 bulan, dan setiap firma layak membeli sehingga 50 lesen pengguna pada kadar subsidi, lapor The Straits Times.
Microsoft dan EnterpriseSG juga akan bekerjasama dengan AISG untuk membantu SME membina keupayaan AI dan mendidik mereka tentang penggunaan AI yang bertanggungjawab melangkaui Microsoft Copilot.
Dalam acara itu, Microsoft turut mengumumkan bahawa ia telah bekerjasama dengan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) untuk meningkatkan keupayaan AI bagi SME yang matang secara digital.
Syarikat itu akan menganjurkan bengkel dan menyediakan khidmat nasihat teknologi untuk lebih 200 SME bagi mengenal pasti keperluan perniagaan dalam tempoh dua tahun akan datang.
IMDA pula akan membiayai syarikat yang layak untuk membangun dan menggunakan penyelesaian AI generatif mereka.
Firma-firma juga boleh menggunakan alatan AI generatif Microsoft seperti Azure OpenAI dan Copilot.
Kerjasama itu adalah sebahagian daripada Program Microsoft AI Pinnacle, yang dilancarkan pada Mac 2024 bersama penyedia perkhidmatan keselamatan Certis, Agensi Teknologi dan Sains Home Team, Mediacorp, firma perkhidmatan kejuruteraan Seatrium dan agensi teknologi kesihatan nasional Synapxe.
Bercakap semasa majlis pelancaran Microsoft pada 21 Mei, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, berkata bahawa kemunculan AI generatif telah meluaskan peluang untuk kededua perusahaan dan pekerja.
Syarikat boleh menggunakan AI untuk meningkatkan daya penghasilan dalam fungsi perniagaan teras, memupuk inovasi produk dan perkhidmatan, serta menawarkan pengalaman pelanggan yang unggul, katanya.
Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, menekankan kepentingan untuk mengiktiraf pelbagai keperluan syarikat pada tahap kematangan yang berbeza apabila membantu perusahaan menerima AI.
Encik Gan mengumumkan pemerintah juga akan menyokong penyelesaian yang diusahakan AI untuk SME.
Program Gunaan AI baru di Institut Pengajian Tinggi (IHL) akan bermula pada Jun 2024, bermula dengan Politeknik Nanyang dan Politeknik Singapura.
EnterpriseSG akan bekerjasama dengan IHL ini untuk bekerja secara langsung dengan SME, demi mengenal pasti cabaran berkaitan AI dan membangunkan penyelesaian AI bagi pasaran sedia.
“Dalam dua tahun akan datang, kami menyasarkan untuk bekerjasama dengan lebih banyak IHL, dan menyokong sehingga 100 syarikat melalui daya usaha ini,” kata Encik Gan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg