Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih cepat, lebih berkesan: Mendaki manfaat AI siapkan laporan dalam masa nyata
Lebih cepat, lebih berkesan: Mendaki manfaat AI siapkan laporan dalam masa nyata
Pihak pengurusan Yayasan Mendaki kini boleh memperoleh laporan yang dihasilkan daripada kesemua 12 jabatan di ibu pejabatnya dalam tempoh sejam.
Ini dilakukan melalui papan pemuka atau dashboard semua dalam satu – yang direka menggunakan kecerdasan buatan (AI) – dan mampu memaparkan Objektif dan Hasil Utama (OKR) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam masa nyata.
Perubahan itu amat ketara memandangkan sebelum ini, keseluruhan proses mengemas kini dan menyiapkan laporan sehinggalah dihantar kepada pihak pengurusan boleh memakan masa sehingga empat hari, kata Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Encik Mohamed Feroz Mohamed Akber.
“Secara umumnya, AI telah membantu kakitangan bekerja dengan lebih cekap, sambil membolehkan pasukan khusus untuk beri tumpuan kepada bimbingan, jaminan mutu dan tugas dengan nilai lebih tinggi,” ujar beliau.
Encik Feroz menambah bahawa dashboard tersebut berfungsi sebagai sumber maklumat tunggal bagi memastikan semua jabatan menggunakan set data yang sama, sekali gus meningkatkan ketekalan, ketepatan dan integriti data di seluruh organisasi.
Pendekatan ini sejajar dengan strategi 2030 pertubuhan itu yang antara lain merangkumi penerapan AI di pelbagai peringkat perkhidmatannya.
Selain penggunaan dashboard dipacu AI di peringkat pengurusan, beliau berkata kakitangan Mendaki juga telah memanfaatkan AI bagi membantu tugasan harian seperti mencipta draf kandungan, meringkaskan maklumat dan menyiapkan terjemahan.
Dengan tugasan harian ini dimudahkan dengan AI, kakitangan Mendaki dapat meluangkan lebih banyak masa untuk menyokong keluarga, pelajar dan masyarakat secara umum, tambah beliau.