Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih hargai kehidupan selepas pengalaman di Turkey

Feb 25, 2023 | 5:30 AM
TURUN PADANG: Wartawan BH, Izwandi Azman, berada di Turkey antara 15 dengan 20 Februari untuk membuat liputan tentang gempa bumi yang melanda negara itu.
TURUN PADANG: Wartawan BH, Izwandi Azman, berada di Turkey antara 15 dengan 20 Februari untuk membuat liputan tentang gempa bumi yang melanda negara itu. -

SEBAGAI seorang wartawan baru, saya rasa ia penting untuk memperluas pemikiran dan melihat dunia dari perspektif yang berbeza.

Oleh itu, saya memberanikan diri dan menyahut cabaran apabila ditawarkan peluang untuk ke Turkey bagi membuat liputan gempa bumi yang melanda negara itu baru-baru ini.

Ketika saya di sana antara 15 dengan 20 Februari, suhu cuaca sering berada di bawah paras beku, antara -7 dan 9 darjah Celsius.

Pendedahan kepada cuaca sejuk sebegitu, biarpun untuk jangka masa pendek, sudah cukup untuk membuat tubuh menggigil.

Sememangnya sukar untuk mangsa gempa menghadapi cuaca sejuk dengan tidak mempunyai keperluan asas seperti air panas, tempat berteduh atau pakaian tebal.

Apabila Mercy Relief, sebuah pertubuhan bantuan kemanusiaan Singapura, membahagikan pakaian musim sejuk dan selimut kepada mangsa gempa, saya memperhatikan ada sebilangan daripada mereka enggan beratur dan tergesa-gesa.

Pada mulanya, kelakuan mereka itu nampak aneh. Tetapi selepas saya mendapat tahu yang bekalan tidak mencukupi, saya mulai faham.

Ia bermakna tidak semua orang akan menerima pakaian musim sejuk dan selimut. Tiba waktu malam, mereka yang tidak menerima barangan tersebut akan tidur dalam kesejukan tanpa sebarang perlindungan.

Di wajah mereka jelas nampak risau, takut dan terdesak.

Menyaksikan keadaan mereka membuat saya sedar betapa ramai di antara kita mengambil mudah kehidupan.

Lapar? Senang sahaja, masak sahaja di dapur.

Tiada bahan untuk masak? Senang sahaja, turun bawah beli makanan di kedai kopi.

Malas mahu turun bawah? Senang sahaja, tempah makanan melalui aplikasi dalam talian.

Sebelum ini, saya tidak terfikir betapa bertuahnya saya dilahirkan di Singapura, salah satu negara paling selamat dan mempunyai prasarana dan kemudahan untuk rakyat hidup selesa.

Pengalaman saya di Turkey telah membuat saya menghargai perkara yang sekecil mana pun seperti mempunyai alat pemanas air untuk mandi dan sebuah katil selesa serta selimut untuk tidur selesa di rumah sendiri.

Bersyukurlah dengan apa yang kita ada sekarang kerana ini semua boleh lenyap dalam sekelip mata!

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg