Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih hati-hati demi ibu, abang

Jan 28, 2021 | 5:30 AM
HASILKAN SENDIRI: Cik Juriah Yatim (kiri) telah belajar menghasilkan bahan pembersih tangan dan pelitup sendiri di rumah. Dengan orang di rumah dianggap golongan lebih berisiko, Cik Juriah masih mematuhi peraturan dengan rapi. Bersama beliau ialah ibunya, Cik Ramlah Raes. - Foto BH oleh KHALID BABA
HASILKAN SENDIRI: Cik Juriah Yatim (kiri) telah belajar menghasilkan bahan pembersih tangan dan pelitup sendiri di rumah. Dengan orang di rumah dianggap golongan lebih berisiko, Cik Juriah masih mematuhi peraturan dengan rapi. Bersama beliau ialah ibunya, Cik Ramlah Raes. - Foto BH oleh KHALID BABA -

BAGI Cik Juriah Yatim, 57 tahun, beliau tidak akan keluar rumah sebarangan tanpa alasan, walaupun dengan kelonggaran peraturan dalam fasa ketiga.

Pegawai pentadbiran syarikat Singapore Airlines (SIA) itu menjaga ibunya, Cik Ramlah Raes, berusia 87 tahun, serta abang keduanya yang terlantar sakit di katil.

"Oleh kerana orang di rumah saya dianggap golongan yang lebih berisiko, saya mesti mematuhi peraturan dengan lebih rapi.

"Sebelum pandemik, jika sakit, saya memang sudah mengamalkan langkah menggunakan pelitup muka di rumah.

"Tubuh abang saya lemah, jadi sangat senang dijangkiti virus. Oleh itu, saya harus sentiasa berhati-hati terutama apabila saya pulang dari kerja di Lapangan Terbang Changi yang terdapat ramai orang," jelas adik bongsu lima beradik itu.

Lantaran itu, apabila syarikat Cik Juriah menawarkannya peluang menerima vaksin Covid-19, beliau tidak melepaskan peluang telah menerima suntikan pertamanya Isnin lalu.

"Saya percaya bahawa pencegahan lebih baik daripada rawatan.

"Atas sebab itu, saya telah belajar membuat sendiri pembersih tangan di rumah melalui wadah Youtube. Senang sahaja. Selepas menghasilkannya, tuang dalam botol-botol kecil untuk digunakan!

"Saya juga membuat pelitup muka sendiri," kongsi Cik Juriah yang juga ahli Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) yang aktif di Marine Parade.

Beliau juga membuat lebih pembersih tangan dan pelitup muka untuk diagihkan kepada jemaah di Masjid Abdul Aleem Siddique, setelah mendapat tahu solat Jumaat sudah dimulakan semula pada fasa kedua.

Cik Juriah juga menjadi relawan jawatankuasa di masjid tersebut yang berhampiran rumahnya.

Menurutnya, jika beliau ingin keluar bersama ibunya, beliau akan memastikan bahawa ia bukan pada waktu yang sibuk.

"Saya akan keluar rumah selepas 10 pagi dan pulang sebelum 4 petang. Saya cuba sebaik mungkin mengelak tempat yang ramai orang kerana ibu saya juga sudah tua dan berisiko tinggi dijangkiti virus," kata Cik Juriah.

Dengan pandemik ini belum selesai, beliau harap lebih ramai orang akan turut menjaga dan mematuhi peraturan, tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg