Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih ramai anak muda minat ceburi bidang penerbangan

Jan 9, 2023 | 5:30 AM
PROGRAM PENERBANGAN UNTUK BELIA: Sekumpulan belia yang lulus daripada program penerbangan daripada sekolah swasta Aeroviation baru-baru ini. Program itu mendedahkan pelajar kepada pelbagai skop tugas dalam industri penerbangan serta latihan simulasi penerbangan. - Foto AEROVIATION SINGAPORE
PROGRAM PENERBANGAN UNTUK BELIA: Sekumpulan belia yang lulus daripada program penerbangan daripada sekolah swasta Aeroviation baru-baru ini. Program itu mendedahkan pelajar kepada pelbagai skop tugas dalam industri penerbangan serta latihan simulasi penerbangan. - Foto AEROVIATION SINGAPORE -

LEBIH ramai anak muda yang kini berminat menceburi bidang penerbangan dan mengejar impian mendapatkan lesen mengemudi kapal terbang.

Pengasas bersama sekolah penerbangan swasta, Aeroviation Singapore, Encik Faris Iskandar Samat, berkata belia sekarang mudah mendapat maklumat tentang penerbangan di Internet, termasuk menerusi video dan permainan simulator, sekali gus meningkatkan minat terhadap bidang itu.

"Pendedahan ini telah memberi mereka maklumat mendalam tentang skop tugas juruterbang dan ini mencetus minat mereka untuk mempelajari lebih lanjut.

"Ini sudah tentu meningkatkan minat untuk terbang, dan pekerjaan sebagai juruterbang masih merupakan antara pekerjaan yang diimpikan anak muda," ujar Encik Faris.

Beliau menubuhkan sekolah penerbangan itu bersama isterinya, Cik Fadhilah Shuib, mantan guru tadika.

Sejak ditubuhkan pada 2018, sekolah yang terletak di Ubi itu mempunyai 355 pelajar, yang daripadanya seramai 52 sudah meraih lesen penerbangan. Mereka berusia antara 15 tahun dengan 54 tahun.

"Dengan lesen yang boleh didapati seawal usia 15 tahun, ini membolehkan anak muda menggapai langit bahkan sebelum mereka boleh memandu kereta," ujar Encik Faris.

Filem aksi seperti Top Gun juga mempengaruhi orang ramai untuk menjadi juruterbang, tambahnya.

Aeroviation menawarkan program pengenalan penerbangan kepada kanak-kanak seawal usia tujuh tahun.

Sekolah itu juga menawarkan kursus lesen Sijil Juruterbang Rekreasi (RPC) yang dikeluarkan Penerbangan Rekreasi Australia.

Pelajar harus berusia sekurang-kurangnya 15 tahun untuk menjalani latihan penerbangan di Australia bagi meraih Sijil Juruterbang Rekreasi.

Sijil itu merupakan lesen tahap permulaan yang boleh digunakan untuk meraih lesen tahap lebih tinggi seperti lesen juruterbang rekreasi, lesen juruterbang privet dan lesen juruterbang komersial.

Pusat latihan penerbangan untuk belia di Singapura, Kelab Penerbangan Belia Singapura (SYFC), pula ditubuhkan pada 1971 oleh Menteri Pertahanan pertama Singapura, mendiang Dr Goh Keng Swee, di bawah nama 'Kelab Penerbangan Junior' sebelum ini.

Perkembangan ini berlaku sedang Singapura melihat perlunya melatih juruterbang untuk menyertai angkatan udara, dan memupuk minat anak muda dalam bidang penerbangan dari awal lagi.

Hingga kini, lebih 7,400 pelajar sudah menyertai program penerbangan SYFC, dan lebih 1,200 daripadanya meraih Lesen Juruterbang Privet.

Kelab itu juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) untuk mengendali program kegiatan kokurikulum (CCA) yang memupuk minat dalam bidang penerbangan dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Sejak diperkenal pada 2001, lebih 15,000 pelajar daripada 130 sekolah menengah menyertai program CCA SYFC seperti aeropemodelan, penerbangan quadkopter, dan simulator penerbangan.

Semasa menghadiri majlis penyampaian Sayap Lesen Juruterbang Privet tahun lalu, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, menggalakkan anak muda yang meraih lesen itu supaya terus berkecimpung dalam bidang penerbangan dan mempertimbang kerjaya dalam Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF). - NUR ADILAH MAHBOB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg