SERAMAI 152,000 individu telah mendaftar bagi mendapatkan Surat Kuasa Berkekalan (LPA) sehingga 10 Jun lalu, namun jumlah ini masih kecil justeru lebih ramai harus memohon untuk mendapatkannya, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

"Kita harus menggalakkan rakan-rakan kita dan juga diri kita sendiri untuk mengambil LPA. Kita tidak seharusnya mengambil mudah dan menanti sehingga saat-saat akhir apabila kita perlu mendapatkan seseorang untuk mengendalikan ehwal undang-undang dan peribadi kita, tetapi mereka tidak diberi kuasa untuk melakukan demikian," ujar beliau.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Encik Seah Kian Peng (GRC Marine Parade) di Parlimen semalam.

Beliau telah menanyakan bilangan individu yang telah mendapatkan LPA mereka dan bagaimana pemerintah boleh meningkatkan bilangan orang untuk mendapatkannya.

Beliau juga menyarankan agar ia boleh dilakukan pada usia lebih muda supaya jumlah mereka yang mendapatkan LPA boleh dipertingkatkan.

LPA dibuat bagi melantik seorang yang dipanggil 'Deputy' untuk menguruskan hal Pemberi Kuasa sekiranya keupayaan mentalnya merosot dan tidak lagi berupaya.

Dalam LPA, pemberi kuasa - atau 'donor' - dibenarkan untuk melantik dua penerima kuasa - atau 'donee' - dan seorang penerima kuasa pengganti.

Penerima kuasa akan dibenarkan membuat keputusan bagi pihak pemberi kuasa dalam hal-hal persuratan dan hal penting, berkenaan keputusan penjagaan kesihatan dan rawatan perubatan.

Penerima kuasa juga mempunyai hak untuk menguruskan harta benda pemberi kuasa, urusan CPF dan perkara yang melibatkan kewangan.

Terdapat dua jenis borang LPA.

Borang 1 memberi kuasa umum kepada mereka yang bertindak bagi pihak orang yang tidak berupaya dari segi mental.

Bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Singapura memohon LPA, bayaran permohonan $75 bagi borang LPA 1 telah dikecualikan sejak 2021 dan pengecualian akan berjalan hingga 31 Mac 2023.

Borang 2 adalah untuk pemohon yang ingin memberikan kuasa yang khusus atau disesuaikan kepada mereka yang akan membuat keputusan untuk mereka dan perlu digubal oleh peguam.

Yuran permohonan bagi Borang 2 ialah $200 bagi rakyat Singapura.

Pada akhir tahun ini, Pejabat Penjaga Awam (OPG) dijangka melancarkan LPA secara digital dan dalam talian.

Data dari OPG menunjukkan bahawa 34,125 LPA didaftarkan pada 2021 - jumlah tertinggi dalam setahun sejak pendaftaran LPA berkuat kuasa pada 2010.

Sebanyak 24,488 LPA telah didaftarkan pada 2019 dan pada 2020, apabila pandemik melanda, 21,552 LPA telah didaftarkan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti