Sekumpulan kanak-kanak berusia lima tahun di prasekolah diberikan cetakan kartun yang memaparkan seorang lelaki sedang marah dan menjerit, lalu diajukan soalan mudah: Apakah perasaan anda apabila melihat gambar ini?

Sebahagian daripada mereka meluahkan rasa gementar dan tidak selesa, manakala yang lain berasa keliru.

Kanak-kanak tersebut sebenarnya sedang diajar untuk mengenal pasti rasa tidak selesa apabila terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai dalam talian, serta mendapatkan bantuan daripada orang dewasa yang dipercayai.

Cetakan kartun tersebut digunakan sebagai ganti kepada imej sebenar di dalam talian.

Latihan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif baharu Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) bagi membantu kanak-kanak membina tabiat digital yang sihat.

Dirintis pada April lalu dengan lebih 100 murid Tadika 2 (K2) di pusat prasekolah E-Bridge Pre-School, skim itu kini akan diperluaskan demi memberi manfaat kepada lebih ramai kanak-kanak prasekolah.

Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam, berkata IMDA merancang untuk bekerjasama dengan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) bagi melibatkan lebih banyak pengendali prasekolah pada 2027.

Beliau mengumumkannya di pelancaran Pesta Digital for Life (DfL) yang diadakan di VivoCity pada 24 Oktober.

Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang juga penaung gerakan DfL, turut menghadiri acara tersebut, yang dihoskan oleh Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.

Dianjurkan sepanjang dua hujung minggu, pesta itu menawarkan pengalaman interaktif kepada pengunjung bagi membina kemahiran digital.

Edisi hujung minggu depan pula akan berlangsung di Heartbeat@Bedok dari 31 Oktober hingga 1 November.

Pusat prasekolah Skool4Kidz telah pun memulakan sesi pembelajaran keselamatan dalam talian itu kepada 800 murid K2 di 35 pusatnya pada September.

E-Bridge pula akan melaksanakannya di kesemua 30 pusat miliknya pada Disember, sekali gus menjangkau hampir 3,000 murid K1 dan K2.

Pembelajaran tabiat digital sihat itu merangkumi empat aspek utama – menetapkan batasan, berfikir sebelum bertindak, melaporkan kandungan yang tidak sesuai, serta mendapatkan sokongan ibu bapa.

Sebagai contoh, kanak-kanak diajar untuk membimbing rakan mereka mendapatkan bantuan, serta mengamalkan tabiat sihat tanpa skrin seperti berlari-lari anak dan mengunjungi perpustakaan.

Kegiatan seumpamanya bagi murid prasekolah merupakan sebahagian daripada gerakan nasional yang lebih luas, Screen Smart From The Start, yang dilancarkan pada Mei lalu bagi membantu keluarga memupuk tabiat digital yang sihat.

Ketua pusat di Skool4Kidz, Cik Eng Zeng Ting, berkata kebanyakan sesi pembelajaran keselamatan dalam talian dijalankan tanpa menggunakan skrin, sebaliknya menerusi penceritaan, lakonan peranan dan permainan.

“Masa skrin yang terhad tidak bermakna tiada pendedahan langsung. Kanak-kanak melihat telefon dan tablet di sekeliling mereka setiap hari... Sama seperti keselamatan jalan raya, tabiat ini sebaik-baiknya dipelajari sebelum mereka benar-benar memerlukannya,” kata Cik Eng.

Pengarah pembelajaran di E-Bridge, Cik Alice Tay, menjelaskan bahawa pembelajaran itu mengajar penggunaan peranti secara praktikal, sama seperti cara guru memperkenalkan alat lain, misalnya cara menggunakan gunting dengan selamat semasa menghasilkan kraf tangan.

“Oleh sebab alat digital sangat rumit, adalah lebih penting untuk membantu mereka memahami tujuan serta garis panduan keselamatannya sejak awal lagi,” jelas beliau.

Cik Tay menambah bahawa ramai ibu bapa menyatakan hasrat untuk memberikan anak-anak mereka telefon bimbit apabila melangkah ke Darjah 1 atas faktor keselamatan dan komunikasi.

Justeru, mereka menyambut baik usaha pihak sekolah yang menerapkan tabiat digital sihat itu dari peringkat awal.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti