JUMLAH keluarga yang menerima bantuan kebajikan jangka panjang daripada pemerintah naik 24 peratus sejak lima tahun lalu, daripada 3,568 keluarga pada 2013 kepada 4,409 keluarga tahun lalu.

Tahun lalu, jumlah keluarga itu, yang menerima bantuan kewangan menerusi skim Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) itu juga lebih tinggi berbanding 2016, iaitu 4,387 keluarga.

Maklumat terkini berkaitan hal tersebut dimuatkan dalam laporan tahunan Dana Pembiayaan Jagaan Masyarakat (ComCare) bagi tahun kewangan 2017 terbitan MSF semalam.

Pekerja sosial dan pakar sosiologi dalam laporan The Straits Times berkata ada pelbagai sebab jumlah keluarga yang memerlukan bantuan jangka panjang itu meningkat - daripada masyarakat Singapura yang kian menua kepada saiz keluarga yang kian mengecil dan jumlah individu tidak berumah tangga yang bertambah.

Warga tua yang menyertai skim itu pernah menyandang tugas bergaji rendah dan berada dalam kesusahan apabila mereka jatuh sakit atau tidak dapat terus bekerja kerana usia lanjut.

Jumlah anak juga merosot dan jika mereka pun bergelut dengan masalah kewangan, mereka sukar mahu membantu ibu bapa, kata Cik Tan-Wu Meiling, pengarah eksekutif Shine Children and Youth Services.

Justeru, ramai warga tua sedemikian berpaling kepada pemerintah untuk meminta bantuan.

Dana ComCare mengagihkan sebanyak $131 juta kepada 79,470 individu dalam tempoh 12 bulan hingga 31 Mac tahun ini, berbanding $130 juta yang diberi kepada 83,353 penerima pada tahun kewangan 2016.

ComCare ialah wadah bantuan sosial utama bagi warga Singapura dan merangkumi program bantuan jangka panjang, pendek dan pertengahan.