Lebih ramai masyarakat Melayu kini bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah berbanding bahasa ibunda sendiri, menurut perangkaan terkini yang diterbitkan dalam Tinjauan Isi Rumah Umum 2025 pada 30 Jun.

Seramai 53.2 peratus orang Melayu yang berusia lima tahun ke atas menggunakan bahasa Inggeris di rumah pada 2025 berbanding 39 peratus pada 2020.

Pada masa yang sama, peratusan orang Melayu yang bertutur dalam bahasa Melayu di rumah berkurangan daripada 60.7 peratus pada 2020 kepada 46.5 peratus pada 2025.

Menurut tinjauan itu, bahasa Inggeris kekal sebagai bahasa yang paling kerap dituturkan di rumah di Singapura, digunakan oleh hampir enam daripada 10 penduduk atau 58.1 peratus yang berumur lima tahun ke atas. Ini merupakan peningkatan daripada 48.3 peratus pada 2020.

Peralihan kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa utama yang dituturkan di rumah adalah jelas merentasi semua kumpulan etnik utama.

Pada 2025, lebih separuh daripada penduduk dalam kalangan setiap kaum melaporkan bahawa mereka menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama yang dituturkan di rumah.

Antara mereka yang paling kerap bertutur dalam bahasa Inggeris di rumah, sebahagian besar atau 80.5 peratus juga bertutur dalam bahasa ibunda sebagai bahasa kedua.

Ini mencerminkan penggunaan dwibahasa dalam kehidupan seharian penduduk Singapura, kata laporan tinjauan itu.

Sementara itu, kadar literasi, iaitu keupayaan untuk membaca dalam sekurang-kurangnya satu bahasa, ialah 98.6 peratus dalam kalangan penduduk berumur 15 tahun ke atas.

Literasi berbilang bahasa juga kekal berleluasa dengan kira-kira sembilan daripada 10 penduduk berumur di bawah 45 tahun celik huruf dan dapat membaca dalam dua atau lebih bahasa.

Selaras dengan dasar pendidikan dwibahasa Singapura, terdapat peningkatan keseluruhan dalam literasi dwibahasa dalam bahasa Inggeris dan satu lagi bahasa ibunda merentasi ketiga-tiga kumpulan kaum.

Kebanyakan penduduk celik huruf berumur 15 tahun ke atas berkebolehan dwibahasa dalam bahasa Inggeris dan satu lagi bahasa ibunda.

Dalam kalangan penduduk Cina yang celik huruf, 69.8 peratus hanya celik huruf dalam bahasa Inggeris dan bahasa Cina, meningkat daripada 62.3 peratus pada 2020.

Perkadaran yang sepadan dalam kalangan penduduk Melayu yang hanya celik huruf dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu hanya meningkat sedikit daripada 82.8 peratus pada 2020 kepada 83.5 peratus pada 2025.

Dalam kalangan penduduk India, 46.1 peratus hanya celik huruf dalam bahasa Inggeris dan bahasa Tamil, manakala 14.2 peratus hanya celik huruf dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, mencerminkan kepelbagaian bahasa kaum tersebut.