Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih ramai orang kurang upaya kerja sepenuh masa, bergaji lebih tinggi

Laporan MSF, NCSS: Puas hati dengan kebolehcapaian, pengangkutan awam; mutu hidup lebih baik
Dec 2, 2024 | 4:10 PM
Menurut laporan trend golongan orang kurang upaya oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) pada 2 Disember, lebih ramai orang kurang upaya kini mendapat pekerjaan sepenuh masa dan pendapatan mereka kian meningkat.
Menurut laporan trend golongan orang kurang upaya oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) pada 2 Disember, lebih ramai orang kurang upaya kini mendapat pekerjaan sepenuh masa dan pendapatan mereka kian meningkat. - Foto ZAOBAO

Lebih ramai orang kurang upaya kini mempunyai pekerjaan sepenuh masa dan pendapatan mereka kian meningkat, menurut satu laporan trend orang kurang upaya pada 2 Disember.

Laporan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) itu menghimpunkan data daripada badan dan kementerian berkepentingan merangkumi aspek seperti pekerjaan inklusif dan sikap orang awam terhadap orang kurang upaya.

Ia diterbitkan buat julung-julung kali sedang Singapura melakar hala tuju ke arah masyarakat lebih terangkum.

Secara gambaran meluas, laporan itu menyatakan kadar pekerjaan penduduk kurang upaya berusia 15 hingga 64 tahun secara purata meningkat kepada 32.7 peratus pada 2022 dan 2023 (2022/23), berbanding 28.2 peratus pada 2018 dan 2019 (2018/19).

Ini menurut dapatan Tinjauan Tenaga Kerja Komprehensif Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Laporan itu menambah bahawa daripada kadar itu, kadar orang kurang upaya yang mempunyai pekerjaan sepenuh masa meningkat daripada 74.5 peratus pada 2018/19 kepada 79.7 peratus pada 2022/23 – peningkatan 3.2 peratus.

Dalam satu kenyataan bersama pada 2 Disember, MSF dan NCSS menjelaskan pendekatan menggunakan julat purata dua tahun (2018/19 dan 2022/23) ialah untuk mengatasi sembarang turun naik disebabkan bilangan orang kurang upaya yang amat kecil.

Menurut laporan tersebut, pendapatan median dalam kalangan orang kurang upaya telah berkembang saban tahun, dengan jumlah tersebut meningkat daripada $2,630 pada 2018/19 kepada $4,242 pada 2022/23, iaitu hampir seganda.

“Hal ini disebabkan peningkatan bilangan orang kurang upaya yang bekerja dan berpendidikan tinggi (35-46 peratus), serta peratusan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) dalam kalangan orang kurang upaya (34-45 peratus) dari 2018/19 hingga 2022/23.

“Biasanya, golongan berpendidikan tinggi lebih cenderung bekerja dalam bidang kerja PMET dan PMET secara umum meraih pendapatan lebih tinggi berbanding bidang kerja bukan PMET,” tambah laporan itu.

Dari segi kebolehcapaian, orang kurang upaya yang menggunakan pengangkutan awam pada 2023 menyatakan mereka berpuas hati dengan aksesibiliti pengangkutan awam.

Aksesibiliti merujuk kepada kemudahan atau ruang bagi memudahkan orang kurang upaya – termasuk kemudahan fizikal seperti tanjakan, lif dan kemudahan lain seperti bantuan auditori dan braille.

Menukil kajian panel ketidakupayaan dan inklusiviti (Dips) yang dijalankan ke atas 2,000 orang kurang upaya dan 2,000 penjaga orang kurang upaya, 83.4 peratus, atau empat dalam lima, individu kurang upaya menggunakan pengangkutan awam, manakala 63 peratus menggunakan perkhidmatan kenderaan dari satu tempat ke satu tempat (P2P).

Daripada jumlah sedemikian, hampir 3 dalam 4 (74.2 peratus) orang kurang upaya berpuas hati dengan sistem pengangkutan awam, manakala 3 dalam 5 (60.3 peratus) berpuas hati dengan perkhidmatan P2P – merangkumi khidmat seperti kereta sewa privet (PHC).

Laporan tersebut mengatakan: “Usaha ketara telah dilakukan bagi memastikan kebolehcapaian sistem pengangkutan awam menjangkau semua golongan kurang upaya.

“(Sebanyak) 98 peratus daripada sekitar 5,000 perhentian bas bebas adangan, kecuali sebilangan kecil disebabkan keadaan terhad di lokasi, dengan semua perhentian bas akan menjadi bebas adangan menjelang 2025.”

Sebahagian besar bangunan (79.8 peratus) dan ruang awam (99.5 peratus) – yang ditakrifkan Kementerian Pembangunan Negara (MND) meliputi taman, kejiranan dan pusat bandar, antara lain – pula mempunyai aksesibiliti asas, tambah laporan itu.

Di samping itu, laporan itu mangatakan skor mutu kehidupan (QOL) bagi orang kurang upaya lebih tinggi pada 2024 berbanding 2015, berdasarkan kajian Dips 2024 dan QOL 2015.

QOL itu dijalankan NCSS melalui satu tinjauan empat mata untuk memahami kesejahteraan segmen penduduk yang berbeza dan penilaian mata 0 hingga 100 diberikan, dengan mata lebih tinggi mencerminkan QOL lebih baik.

Skor keseluruhan QOL bagi 2024 meningkat kepada 56.2 mata, daripada 53.8 mata pada 2015, menurut laporan tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg