Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih ramai pengembara dikesan cuba menyamar identiti di sempadan S'pura pada 2022: ICA
Lebih ramai pengembara dikesan cuba menyamar identiti di sempadan S'pura pada 2022: ICA
Lebih ramai pengembara dikesan cuba menyamar identiti di sempadan S'pura pada 2022: ICA
TERDAPAT lonjakan pada jumlah pengembara yang cuba memasuki Singapura dengan menggunakan identiti penyamaran atau identiti yang mereka tidak pernah gunakan sebelum ini semasa pembukaan semula sempadan pada 2022.
Mendedahkan perkara ini pada Jumaat, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata terdapat peningkatan hampir 15 kali ganda dalam kes sedemikian di sempadan Singapura - daripada 28 kes pada 2021 kepada 441 kes pada 2022.
Sebagai memberi respons pada soalan The Straits Times, jurucakap ICA berkata:
"Pengembara yang didapati menggunakan identiti yang ditiru atau identiti yang berbeza daripada perjalanan mereka sebelum ini ke Singapura untuk memintas pemeriksaan kami akan ditolak dan tidak diiziin masuk serta dilarang pulang ke Singapura. "
ST telah meminta ICA untuk angka pra-pandemik juga.
Agensi itu berkata bahawa pengembara itu dikesan oleh sistem pelepasan biometrik, yang menggunakan corak iris dan ciri muka sebagai pengecam utama untuk pelepasan imigresen.
Kes yang dikesan selalunya melibatkan pesalah imigresen yang sebelum ini tinggal pada jangka masa lebih lama atau dihantar pulang, atau mereka yang telah melakukan atau cuba melakukan pelbagai kesalahan di Singapura.
Lonjakan itu berlaku di tengah-tengah peningkatan ketara dalam jumlah pengembara, sebagaimana yang tertera pada laporan statistik tahunan agensi berkenaan yang dikeluarkan pada Jumaat (17 Februari).
Pada 2022, 104.9 juta pengembara telah dibenarkan masuk dan berlepas, lebih 17 kali ganda daripada 5.9 juta pengembara yang dibenarkan berbuat demikian pada tahun sebelumnya.
Jumlah pengembara di pusat pemeriksaan darat juga mencecah hampir paras pra-Covid-19 semasa cuti sekolah akhir tahun Disember lalu.
Hampir 400,000 pengembara melalui kedua-dua pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands setiap hari pada bulan itu.
Dengan pembukaan semula sempadan, dan jaminan perjalanan antarabangsa, ramai rakyat Singapura turut bergegas memohon pasport.
Ini membawa kepada lonjakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam permohonan pasport, dengan ICA mengeluarkan lebih daripada 1.25 juta pasport pada 2022 berbanding dengan 300,000 pasport pada 2021.
"Ramai rakyat telah menangguhkan langkah memperbaharui pasport mereka yang telah tamat tempoh selama dua tahun sekatan perjalanan di tengah-tengah pandemik Covid-19," kata agensi itu.
Untuk menangani lonjakan itu, ICA mengerahkan hampir 300 pegawai dari unit kerja lain untuk memproses permohonan pasport secara 24 jam 7 hari.
Untuk melindungi Singapura daripada mereka yang mungkin menimbulkan risiko keselamatan kepada negara ini, ICA berkata bahawa ia telah secara progresif menggunakan sistem pelepasan biometrik pelbagai cara di pusat pemeriksaan.
Sejak Julai 2020, semua lorong dan kaunter imigresen automatik dan manual di dewan penumpang di pusat pemeriksaan darat, laut dan udara Singapura telah dilengkapi dengan pengimbas iris dan muka.
Angka itu menunjukkan bahawa pada 2022, 21 orang dikesan dengan dokumen perjalanan yang dipalsukan atau diubah suai. Ia meningkat sebanyak seorang pada 2021.
Terdapat juga peningkatan dalam percubaan menyeludup di pusat pemeriksaan dengan pembukaan semula sempadan.
Pada 2022, ICA mengesan 35,000 kes seludup, meningkat daripada 27,000 pada 2021.
Rampasan seludup terbesar pada 2022 berlaku pada 24 Jun, apabila pegawai ICA merampas 37,728 karton rokok tidak berbayar yang disembunyikan dalam gulungan besar foil aluminium dalam bekas di Stesen Pengimbasan Pasir Panjang.
Sementara itu, jumlah kargo - termasuk konsainan, kontena dan bungkusan - yang masuk ke Singapura menyaksikan kemerosotan daripada 10.9 juta pada 2021 kepada 9.7 juta pada 2022.
Bagaimanapun, jumlah barangan bernilai rendah yang dibenarkan masuk meningkat sebanyak 41.8 peratus, daripada 35.1 juta pada 2021 kepada 49.8 juta pada 2022.
ICA berkata jumlah barangan ini, termasuk pakaian dan mainan yang dibeli dalam talian. Ia meningkat disebabkan penggunaan Internet yang banyak dan kemudahan membeli-belah dalam talian.
Pada Jumaat, agensi itu juga mendedahkan angka mengenai pesalah imigresen dan mereka yang melindungi dan menggajikan mereka.