Lebih ramai pesakit Covid-19 yang telah divaksin akan dihantar terus ke kemudahan penjagaan masyarakat, bukan hospital
Lebih ramai pesakit Covid-19 yang telah divaksin akan dihantar terus ke kemudahan penjagaan masyarakat, bukan hospital
LEBIH ramai orang yang telah divaksin yang menghidap Covid-19 - tetapi tanpa simptom atau dengan simptom ringan - akan dimasukkan terus ke kemudahan penjagaan masyarakat, dan bukannya ke hospital terlebih dahulu, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung. Orang yang telah divaksin sepenuhnya yang menghidap Covid-19 juga akan dibenarkan pulang selepas 14 hari - bukan 21 hari - dengan cuti ketidakhadiran selama tujuh hari, katanya. Ini selagi ujian mereka menunjukkan mereka negatif Covid-19 atau mempunyai beban virus yang sangat rendah. Tempoh itu sedang dikaji lebih lanjut, untuk melihat sama ada mereka boleh dibenarkan pulang lebih awal, kata menteri itu di Parlimen pada Isnin (26 Julai). "Semasa kita belajar hidup dengan Covid-19, protokol penjagaan kesihatan kita mesti diubah suai. Sekiranya Covid-19 benar-benar endemik, mempunyai 200 atau lebih kes sehari mungkin bukan perkara yang luar biasa," kata Encik Ong dalam kenyataan menteri yang disampaikan oleh Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19 itu. Mengenai menghantar pesakit terus ke kemudahan penjagaan masyarakat, beliau berkata ini sudah menjadi amalan bagi mereka yang berusia antara 17 dengan 45 tahun. Kumpulan ini diperluas minggu lalu untuk merangkumi mereka yang berumur hingga 59 tahun. Dengan perubahan itu, hingga 60 peratus kes yang dijangkiti kini dijangka beransur pulih di kemudahan penjagaan masyarakat seperti D'Resort di Pasir Ris dan Kelab Perkhidmatan Awam @ Loyang, dan bukan di hospital penjagaan akut, katanya. Sementara itu, pemerintah akan merancang langkah selanjutnya, di mana mungkin 80 peratus dapat dimasukkan ke kemudahan penjagaan masyarakat dan ada juga yang dapat pulih di rumah, kata Encik Ong. Sebagai sebahagian norma baru, terdapat juga penggunaan kuarantin rumah yang lebih besar, tambahnya. Mereka yang telah divaksin sepenuhnya kini boleh menjalani kuarantin di rumah dan bukan di kemudahan pemerintah, dengan syarat rumah mereka sesuai untuk pengasingan. Encik Ong berkata: "Kami menjangkakan hingga 40 peratus orang di bawah kuarantin dapat menjalani kuarantin di rumah, dan ini akan melampaui 50 peratus dalam beberapa minggu mendatang sedang lebih ramai orang divaksin." Konsesi untuk orang yang telah divaksin sepenuhnya ini akan mengehadkan gangguan Covid-19 ke atas kehidupan mereka, dan juga memastikan sistem penjagaan kesihatan di sini tidak dibebani supaya pesakit lain yang lebih tenat terus mempunyai akses ke katil hospital, tambahnya.

