KELUARGA yang menetap di flat sewa, terutama sekali keluarga muda dengan anak-anak kecil, perlukan bantuan dan campur tangan lebih khusus bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

Justeru, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman menggesa agar lebih ramai tampil menyumbang masa dan tenaga sebagai sukarelawan, khususnya dalam membimbing kanak-kanak yang bersekolah dalam pelajaran mereka serta mendampingi keluarga dengan anak-anak kecil di bawah melalui Projek Dian@M3.

Ini bagi memastikan tumpuan program tersebut bukan hanya untuk memastikan keluarga dapat memiliki flat sendiri, bahkan dapat meraih manfaat lebih menyeluruh, terutama sekali dalam membentuk anak-anak melalui pendidikan, kata Dr Maliki, yang menambah beberapa 'tutor' kini terlibat dalam program perintis dengan tumpuan khusus terhadap pendidikan kanak-kanak di flat sewa.

"Kita dapati ada antara mereka yang mempunyai anak-anak di bangku sekolah tapi tak berupaya memberi sokongan lebih menyeluruh dari segi pendidikan.

"Jadi apa yang kita ingin lakukan adalah untuk menyalurkan sumber dalam masyarakat - anak-anak muda, mungkin mahasiswa kita dari universiti - untuk mendampingi anak-anak ini, membimbing mereka menjadi 'home tutor' dan pada masa sama memberi inspirasi kepada ibu bapa dan menunjukkan kepada mereka anak-anak mereka ingin belajar," kata Dr Maliki.

Di samping itu, perubahan pada diri ibu bapa tersebut sama penting dan mereka memainkan peranan menggalakkan anak-anak mereka belajar di samping kehadiran 'home tutor' tersebut, tambahnya.

Gesaan untuk lebih ramai relawan tampil menyokong Projek Dian@M3 itu turut diluahkan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, semasa berucap di Majlis Perjumpaan Hari Raya Menteri di hotel Pan Pacific Singapura kelmarin.

Projek Dian@M3 diperkenalkan tahun lalu untuk menyokong mobiliti sosial penghuni flat sewa agar mereka dapat memiliki flat sendiri.

Pada masa yang sama, ia diharap dapat menawarkan sokongan lebih menyeluruh bagi keluarga tersebut.

Menurut Dr Maliki, melalui projek Dian@M3 di tiga bandar perintis di Bedok, Geylang Serai dan juga di Jalan Besar, beliau mendapati ramai dalam kalangan keluarga yang menetap di flat sewa terdiri daripada pasangan muda dengan anak-anak kecil.

"Kami cukup prihatin akan masa depan anak-anak mereka dan juga ibu bapa. Kami tahu mereka mempunyai potensi memiliki flat sendiri dan mampu membawa anak-anak mereka ke arah kejayaan.

"Namun, apa yang kita dapati adalah mereka mungkin kekurangan sumber, dari segi penglibatan mereka, cara mereka mengasuh anak-anak, dan dari segi pengetahuan untuk memberikan bimbingan sewajarnya," kata Dr Maliki.

Beliau melahirkan harapan agar sukarelawan dapat mendampingi keluarga dan mencetus harapan bahawa mereka berupaya membesarkan anak-anak mereka dengan cara terbaik.