Bilangan warga emas berusia 65 tahun dan ke atas di Singapura yang tinggal bersendirian meningkat kepada 88,400 pada 2025, berbanding 87,200 pada 2024. Angka itu pula telah meningkat lebih dua kali ganda berbanding 41,200 sedekad lalu pada 2015.

Secara keseluruhan, kumpulan warga emas tersebut masih tergolong sebagai minoriti: mereka merangkumi 11.5 peratus daripada semua penduduk warga emas dalam isi rumah, dengan majoriti masih tinggal bersama pasangan dan/atau anak mereka.

Laporan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mengenai trend keluarga, yang dikeluarkan pada 10 Julai, turut menunjukkan bahawa keluarga mempunyai ikatan yang rapat.

Laporan itu menunjukkan bahawa 95.2 peratus responden berusia 15 hingga 64 tahun bersetuju bahawa adalah tanggungjawab mereka untuk menjaga ibu bapa mereka. Jumlah itu meningkat berbanding 93.1 peratus pada 2023.

Menurut satu tinjauan yang dijalankan MSF, 89.6 peratus melaporkan mempunyai keluarga yang rapat pada 2025, meningkat berbanding 86 peratus pada 2023.

Responden yang berkahwin lebih cenderung melaporkan mempunyai keluarga yang rapat, berbanding mereka yang bujang, bercerai, berpisah atau kematian pasangan. Mereka juga lebih cenderung mengekalkan hubungan rapat dengan saudara di luar keluarga terdekat mereka.

Lebih 90 peratus keluarga melaporkan skor daya tahan keluarga yang sederhana hingga tinggi, satu peningkatan berbanding 85.9 peratus pada 2023. 

Skor itu merujuk kepada keupayaan untuk menghadapi dan menyesuaikan diri dengan cabaran atau kesukaran, serta bangkit semula daripada peristiwa hidup yang sukar. Skor daya tahan keluarga juga lebih tinggi dalam kalangan responden yang berkahwin.

Laporan itu turut menunjukkan bahawa penjaga (caregiver) melaporkan kualiti hidup yang lebih rendah, berbanding mereka yang bukan penjaga. Data itu diperoleh daripada satu kajian 2025 oleh Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS).

Kajian itu mendapati penjaga mencatat skor lebih rendah dalam dari segi fizikal, psikologi, hubungan sosial dan persekitaran, berbanding bukan penjaga.

Penunjuk itu mengukur pelbagai aspek kehidupan mereka, seperti sejauh mana mereka berpuas hati dengan diri sendiri, ruang tempat tinggal mereka, dan hubungan sosial.

Penjaga juga kurang berpuas hati dengan sokongan keluarga yang mereka terima, berbanding bukan penjaga.

Namun begitu, kedua-dua kumpulan melaporkan tahap kebahagiaan yang hampir sama dengan hubungan keluarga mereka. Sekitar 60.3 peratus penjaga berkata mereka berpuas hati dengan hubungan keluarga mereka, berbanding 61.2 peratus bukan penjaga.

Profesor sosiologi Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Paulin Tay Straughan, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa ia mungkin kerana penjagaan adalah tugas yang dilakukan dengan penuh kasih sayang.

“Mungkin mereka kekal positif dari segi hubungan dengan penerima penjagaan, tetapi mengalami rasa tidak puas hati dengan ahli keluarga lain yang tidak sama-sama memikul tanggungjawab dalam menjaga orang tersayang,” katanya.