Lebih ramai warga Singapura bersikap lebih positif terhadap kehadiran pekerja asing di sini dengan sebilangan besar tidak mempedulikannya, menurut tinjauan unit maklum balas pemerintah Reach. Majoriti juga bersetuju Singapura perlu kekal terbuka untuk warga asing.

Pengamatan tersebut merupakan hasil tinjauan lebih 2,100 orang melalui telefon dan 1,050 dalam talian Ogos lalu.

Responden merupakan warga Singapura berusia 15 tahun keatas yang dipilih secara rambang. Separuh daripada responden yang ditinjau melalui telefon berkata mereka bersikap neutral tentang individu asing, manakala 35 peratus daripada mereka bersikap positif terhadap warga asing dan hanya 14 peratus yang bersikap negatif. Mereka yang menganggur pula lebih cenderung untuk berasa tidak puas hati, dengan lebih 26 peratus berkata mereka berasa negatif atau amat negatif tentang kehadiran warga asing di sini. Keprihatinan berkaitan pekerjaan dan warga asing juga lebih jelas kelihatan dalam kumpulan ini, menurut Reach semasa hasil tinjauan itu didedahkan hari ini.