SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Lebih usaha perlu bagi galak wanita ceburi sektor berkembang

Lebih usaha perlu bagi galak wanita ceburi sektor berkembang

Antara 12 saranan yang dikemukakan dalam kertas kerja mengenai pembangunan wanita
Jul 30, 2021 | 5:30 AM

Lebih usaha perlu bagi galak wanita ceburi sektor berkembang

PERTINGKAT KEHIDUPAN WANITA: Cik Rahayu Mahzam (barisan atas, paling kiri) membentangkan 12 saranan dalam kertas kerja mengenai pembangunan wanita oleh cabang wanita dan belia PAP dalam satu sidang media melalui Zoom semalam. Turut sertai ialah (barisan tengah, dari kiri) Cik Carrie Tan, Cik Cheng Li Hui dan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, serta Cik Tin Pei Ling (barisan bawah, dua dari kiri). - Foto PAP
PERTINGKAT KEHIDUPAN WANITA: Cik Rahayu Mahzam (barisan atas, paling kiri) membentangkan 12 saranan dalam kertas kerja mengenai pembangunan wanita oleh cabang wanita dan belia PAP dalam satu sidang media melalui Zoom semalam. Turut sertai ialah (barisan tengah, dari kiri) Cik Carrie Tan, Cik Cheng Li Hui dan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, serta Cik Tin Pei Ling (barisan bawah, dua dari kiri). - Foto PAP -

LEBIH banyak usaha perlu diperluaskan bagi membantu golongan wanita menceburi dan berkembang maju dalam sektor pertumbuhan seperti teknologi.

Selain itu, undang-undang anti- diskriminasi di tempat kerja perlu diperkenalkan dan kurikulum pendidikan seksual perlu dikemaskini secara kerap untuk mengikuti norma yang berubah dan terus menekankan nilai-nilai seperti rasa hormat dan keizinan.

Demikian antara 12 saranan yang dikemukakan cabang wanita dan belia Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam kertas kerja mengenai pembangunan wanita yang dikeluarkan semalam.

Kertas kerja itu, yang akan diserahkan kepada pemerintah bagi pertimbangan, bertujuan menangani cabaran yang dihadapi wanita Singapura hari ini dan membantu mereka berkembang maju, terutamanya dalam dunia pasca-Covid-19.

Ini setelah diumumkan pada September lalu bahawa pemerintah akan menjalankan semakan menyeluruh mengenai isu berkaitan wanita dan kesaksamaan jantina.

Semakan itu akan berakhir dengan Kertas Putih yang akan diperkenalkan di Parlimen pada tahun ini.

Membentangkan saranan tersebut dalam satu sidang media melalui Zoom semalam, Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam, berkata visi mereka adalah untuk memperkasa wanita memanfaatkan potensi penuh dan mencapai aspirasi mereka.

"Berdasarkan saranan tersebut, kami sedar ada beberapa bidang yang perlukan kemajuan dan perhatian. Ini adalah mendorong perubahan dalam membolehkan wanita membuat lebih banyak pilihan kerjaya, membolehkan mereka lihat apakah pilihan yang sedia ada dan untuk memulakan usaha awal.

"Bagi mereka mencapai aspirasi itu, kita harus sedar bahawa mereka perlu mengimbangi tanggungjawab penjagaan, dan kita harus menyokong mereka, kita harus menjadikannya lebih mudah untuk mereka.

"Ini adalah antara usaha yang kami mahu lakukan tetapi kami perlu lakukannya bersama sebagai satu masyarakat," kata beliau, yang merupakan antara tiga pemegang jawatan politik wanita yang menerajui semakan mengenai isu berkaitan wanita itu.

Menurut kertas kerja itu, untuk menangani jurang dalam pendapatan yang diraih antara lelaki dengan wanita, gerakan nasional dan usaha yang wujud kini seperti SG Women in Tech perlu diperluaskan untuk menggalak wanita menyertai sektor baru dan sedang tumbuh.

Ini termasuk bidang berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) seperti teknologi infokom dan sains bioperubatan.

Demi memastikan wanita dilayani secara adil dan mengurangkan diskriminasi di tempat kerja, kertas itu menyarankan untuk menggubal Garis Panduan Tiga Pihak bagi Amalan Pengambilan Kerja Adil bagi membolehkan penguatkuasaan lebih kukuh bagi amalan tersebut.

Kertas itu turut menyarankan beberapa cara mengalihkan beban penjagaan dalam cara yang lebih saksama sementara mempertingkat sokongan bagi penjaga.

Antaranya ialah meniadakan had bagi jumlah hari cuti bersalin yang boleh diubah menjadi cuti ibu bapa, dan menggalak majikan membenarkan golongan bapa mengambil cuti untuk menjalankan peranan penjagaan mereka.

Kertas itu juga telah mengenal pasti stereotaip dan norma yang wujud kini sebagai penghambat usaha mencapai keadilan dan rasa hormat yang sama antara jantina.

Untuk menangani isu itu, ia menyarankan agar Kementerian Pendidikan (MOE) mengemaskini kurikulum pendidikan seksual dengan kerap dan tepat pada masanya untuk memberi respons terhadap isu dan trend semasa, terutamanya bagi sekolah menengah.

Ibu bapa juga harus dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mengadakan perbincangan mengenai perihal seksual bersama anak-anak dan membina nilai-nilai yang betul.

Bagi tempat kerja, kertas itu berkata perlu ada usaha tiga pihak dalam menggalak laporan mengenai gangguan dalam cara yang terbuka dan selamat, dan pendekatan tiada toleransi bagi gangguan di tempat kerja.

Kertas itu juga menyentuh tentang wanita Singapura yang perlu ke luar negara untuk membeku sel benih mereka untuk disenyawakan bagi sebab bukan perubatan, yang dilarang di sini buat masa ini.

Oleh itu, ia mengemukakan saranan bagi prosedur sedemikian dibenarkan di sini, namun dengan pelaksanaan rangka kerja peraturan dan syarat.

Pengerusi Cabang Wanita PAP, Cik Josephine Teo, dalam catatan Facebooknya semalam berkata kebanyakan saranan itu datang dari kaum Adam, dan perubahan itu menandakan kematangan masyarakat kerana pengiktirafan lebih kukuh tentang peranan penting kaum lelaki dalam menyokong pembangunan wanita kini dapat dilihat.

"Sememangnya, kaum lelaki kita memainkan banyak peranan penting untuk menyokong wanita - di rumah, mereka adalah bapa, suami, abang dan anak lelaki kita; di luar rumah, mereka adalah bos/mentor, rakan sekerja dan rakan kita.

"Untuk ini, kami mengucapkan terima kasih kerana menjadi bahagian penting dalam perjalanan ini dan kesediaan mereka untuk menyumbang," kata beliau.

SARANAN BAGI MENANGANI ISU YANG MENJEJAS WANITA SG

1. Memperluas gerakan seluruh negara untuk membantu wanita ceburi dan maju dalam sektor pertumbuhan 2. Memperkenal undang-undang untuk memastikan pekerjaan berdasarkan merit dan mengenakan hukuman bagi tingkah laku berdiskriminasi untuk mencapai tempat kerja lebih pelbagai dan inklusif 3. Bekerjasama dengan pertubuhan dan majikan untuk membangunkan pakej dan rangkaian sokongan menyeluruh bagi wanita memasuki semula tenaga kerja dan membina semula kerjaya mereka 4. Memberikan ibu bapa fleksibiliti penuh untuk menentukan cara berkongsi cuti bersalin dan cuti bapa 5. Meningkatkan sokongan kewangan bagi penjaga warga emas untuk bantu meringankan beban kewangan dan perbelanjaan tunai 6. Menganjurkan khidmat waktu rehat sukarela (voluntary respite services) bagi penjaga dan meningkatkan kesedaran tentang program sokongan 7. Mempertingkat pilihan bagi penjagaan di rumah jangka panjang bagi warga emas 8. Mengemaskini kurikulum pendidikan seksual secara kerap untuk mengikuti norma yang berubah, dengan tumpuan khusus pada kurikulum buat pelajar sekolah menengah 9. Menggalak laporan terbuka kejadian gangguan di tempat kerja 10. Membenarkan pembekuan sel benih wanita untuk disenyawakan 11. Mewujudkan program pemeriksaan kesihatan reproduktif bagi pasangan suami isteri 12. Mencipta rangkaian sokongan bagi ibu tunggal

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg