Topik diikuti
Pergi ke BHkuLega bekalan ayam bertambah minggu mendatang
Lega bekalan ayam bertambah minggu mendatang
Belum pasti jika harga ayam akan merosot
Lega bekalan ayam bertambah minggu mendatang
SETIAP minggu, sebanyak dua hingga tiga hari Cik Rosmawati Kamruddin akan menghidangkan masakan dengan menggunakan ayam.
Menurut ibu empat anak berusia 41 tahun itu, ayam adalah bahan penting bagi keluarganya dan semalam beliau telah membeli dua kilogram kepak ayam dari Pasar Geylang Serai sebagai bekalan buat minggu ini.
Biarpun dianggap bahan asas untuknya, Cik Rosmawati, seorang pekerja bahagian operasi di Lapangan Terbang Changi berkata beliau tidak kelam-kabut membeli ayam apabila Malaysia menyekat bekalan eksport ayam segar ke sini sejak 1 Jun lalu.
"Kita beli macam biasa sahajalah, tak ada sebab untuk kelam-kabut atau nak beli secara berlebihan," katanya ketika ditemui.
"Stok masih cukup di pasar dan pasar raya dan sekatan eksport bukan satu alasan untuk stock up peti sejuk di rumah," tambahnya.
Kebanyakan pelanggan yang ditemui Berita Harian (BH) di Pasar Geylang Serai semalam turut bersependapat dan tidak bimbang terhadap bekalan ayam di sini.
Kelmarin, Menteri Negara (Kemampanan dan Sekitaran), Encik Desmond Tan berkata bekalan ayam di Singapura stabil dan rakyat boleh menjangkakan lebih banyak ayam sejuk dari Australia dan Thailand, serta ayam beku dari Brazil dan Amerika Syarikat dibawa masuk dalam beberapa minggu mendatang.
Menjawab pertanyaan BH, jurucakap MSE berkata bekalan ayam itu akan termasuk ayam halal.
Encik Tan memberi jaminan kepada warga Singapura terdapat bekalan ayam yang mencukupi untuk semua jika kita membuat pembelian ayam seperti biasa.
Pelanggan Encik Mohd Dahlan Morallah, 65 tahun, pula berkata:
"Kami beli ayam hanya apabila kami hendak gunakan bahan itu. Kalau tak payah, tak perlu beli."
Pengendali gerai di Pasar Geylang Serai turut berkata bekalan ayam yang disejukkan - iaitu bekalan ayam segar terakhir mereka dari Malaysia - masih cukup buat lagi 10 hari, atau sekitar dua minggu dari tarikh sekatan eksport ayam dari Malaysia itu mula berkuat kuasa.
"Tapi yang amat membimbangkan buat kami sekarang adalah harganya," kata pemilik gerai Jaafar, Cik Roslina Onn.
Tinjauan BH di Pasar Geylang Serai semalam mendapati harga ayam disejukkan bagi seekor ayam paling ringan - iaitu 600 gram - adalah dalam lingkungan $8, naik daripada $6 sekitar tiga hingga empat minggu lalu.
Ayam seekor 800 gram pula berharga dalam $15, naik daripada $10 sekitar sebulan lalu.
Harga ayam beku di pasar raya setempat seperti ayam beku Perdigao 900 gram kekal berada dalam lingkungan $4.45 menurut aplikasi jejak harga, Price Kaki, kendalian Persatuan Pengguna Singapura (Case).
Perkara itu membimbangkan peniaga gerai nombor 99 bernama Mutiara, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Mar.
"Kami rasa segan juga apabila mendedahkan harga baru kepada pelanggan, takut mereka tertekan dengan harga lebih tinggi sekarang," katanya.
"Saya perhatikan ada sedikit kemerosotan dari segi penjualan tapi tak begitu ketaralah buat kami. Orang pasti datang ke sini untuk cari ayam jadi kami tak khuatir.
"Kami cuma harap bekalan dari Malaysia dapat sambung semula, kalau tidak apa yang kami dapat kami juallah," tambahnya.
Sejajar dengan usaha pemerintah mendapatkan bekalan dari pelbagai negara, pengarah pembangunan perniagaan dan pemasaran OurPasar Essentials, yang mengendalikan laman perdagangan elektronik OurPasar, Encik Qamarul Solihien Daud berkata, pihaknya sudah mendapatkan pembekal dari Thailand untuk mengeksport ayam sejuk kepada mereka.
"Namun masih terlalu awal untuk menjangkakan apa-apa kerana kami masih dalam perundingan untuk menetapkan harga," katanya.
Encik Hashim Abbas, peniaga gerai di Geylang Serai berusia 73 tahun pula menjangkakan bekalan baru dari sumber alternatif dari Thailand misalnya, tidak akan mengurangkan harga ayam semasa.
"Ini sebab ayam dari negara yang lagi jauh akan melibatkan lebih banyak kos untuk menyejukkan daging serta penghantaran. Lagi pun ini bukan kali pertama kami dapat ayam dari Thailand," tambahnya.
Menurut laman Agensi Makanan Singapura (SFA), Thailand merupakan sumber import produk ayam beku bagi Singapura sejak sekian lamanya hingga ia ditimpa Demam Burung pada 2004.
Import ayam dari Thailand disambung semula pada 2013 selepas agensi Penguasa Pertanian-Makanan dan Ternakan (AVA) - yang mengurus kawalan makanan kemudian diambil alih oleh SFA - telah menilai kawalan pencegahan dan penyakit negara itu memenuhi keperluan import Singapura.
Cik Nazneen Khaja, pembantu gerai dan anak kepada pemilik Nazneen Meat House, di Pasar Clementi West pula prihatin sama ada mereka akan dapat bekalan ayam halal dari sumber alternatif itu.
"Sebagai peruncit kecil dan gerai daging halal tunggal di Clementi, kami tak begitu pasti sama ada kami boleh dapatkan tempahan borong pada harga berpatutan bagi ayam dari sumber alternatif itu.
"Kami harus lihat dulu bagaimana keadaannya," ujarnya.
PEMBELI
"Kita beli macam biasa sahajalah, tak ada sebab untuk kelam-kabut atau nak beli secara berlebihan.
Stok masih cukup di pasar dan pasar raya dan sekatan eksport bukan satu alasan untuk stock up peti sejuk di rumah."
- Cik Rosmawati Kamruddin.
"Kami beli ayam hanya apabila kami hendak gunakan bahan itu. Kalau tak payah, tak perlu beli."
- Encik Mohd Dahlan Morallah.
PENJUAL
"Tapi yang amat membimbangkan buat kami sekarang adalah harganya."
- Cik Roslina Onn, pemilik gerai Jaafar.
"Ini sebab ayam dari negara yang lagi jauh akan melibatkan lebih banyak kos untuk menyejukkan daging serta penghantaran.
- Encik Hashim Abbas, peniaga di gerai Geylang Serai.

