NAMA Zainal Abidin Ab Malik (gambar) memang tidak asing dalam kalangan para peminat skuasy pada tahun-tahun 1980-an dan 1990-an selaku satu-satunya pemain yang pernah merangkul 11 kejuaraan nasional.
Maka tidak hairanlah beliau pemain paling layak diberi pengiktirafan dalam satu majlis yang menandakan 50 tahun skuasy Singapura dan sempena Hari Kebangsaan tahun ini.
Zainal, 64 tahun, menjadi penerima pertama yang dinobat Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Persatuan Raket Skuasy Singapura (SSRA) di majlis The Squash Ball 2022 yang berlangsung di Shangri-La Singapore dan dihadiri sekitar 600 tetamu malam tadi.
Beliau tidak dapat hadir di majlis itu semalam akibat dijangkiti Covid-19. Wakilnya, Cik Noraida, 52 tahun, yang merupakan adik bongsu Zainal, menerima anugerah tersebut bagi pihak abangnya.
Zainal cemerlang, harumkan nama negara tak lama dulu
Anugerah itu disampaikan oleh Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Eric Chua.
Semasa dihubungi, Zainal yang kini mengajar skuasy secara sambilan berkata beliau tidak menjangkakan anugerah tersebut akan disampaikan kepadanya.
"Apa yang saya lakukan adalah kerana cinta dan minat saya kepada sukan ini.
"Alhamdulillah pernah satu ketika nama Singapura tercatat dalam ranking antara 10 pasukan terbaik dunia untuk tempoh sekitar 10 tahun.
"Pastinya kami ingin kembalikan zaman kegemilangan itu," katanya.
Selain 11 kejuaraan nasional, Zainal mengukir namanya dan mengharumkan negara dalam skuasy di peringkat Asia Timur dengan merangkul sembilan kejuaraan perseorangan dan Sukan Asia Tenggara dengan memenangi tiga pingat emas.
Beliau juga pernah memenangi anugerah Olahragawan Terbaik Lelaki untuk tahun 1986.
"Sepanjang hayat saya adalah tentang skuasy... bermain, berlatih, dan bertanding... bertemu sahabat serta terlibat dalam apa jua skuasy.
"Impian saya adalah untuk menjadi pemain terhandal dan saya bekerja keras untuk memenangi pertandingan dan pastinya saya bangga dengan pencapaian saya," katanya.
Bapa seorang anak perempuan itu berkata terdapat "tanda-tanda" bahawa skuasy mula dikenali ramai terutamanya dalam kalangan belia.
Antaranya peringkat bawah usia 13 tahun (lelaki); bawah 15 tahun (perempuan); dan bawah 19 tahun (lelaki).
"Malangnya saya lihat sokongan dari sudut tempat berlatih amat kurang sekali.
"Sejauh ini pusat skuasy di Kallang yang berusia 40 tahun hanya mempunyai tujuh gelanggang skuasy perseorangan," katanya.
Di serata pulau, kini hanya terdapat sekitar 24 gelanggang skuasy yang dikongsi orang ramai.
Lantas tidak hairanlah Presiden SSRA, Encik Patrick Thio, berkata pihaknya telah mengemukakan satu saranan kepada agensi sukan nasional SportSG berkaitan penggantian sebuah pusat baru - sebuah bangunan tiga tingkat yang canggih dengan tiga format skuasy - perseorangan, beregu antarabangsa dan beregu jumbo - di atas sebuah kawasan seluas 1,600 meter persegi.
"Adalah penting untuk membina sebuah pusat skuasy nasional di Kallang Alive! bagi memberi inspirasi kepada generasi muda untuk tampil... bersama-sama membawa skuasy ke satu tahap yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan SSRA semalam.
Dalam usaha menggalak lebih ramai orang lebih aktif dalam sukan ini, SSRA telah menyampaikan Anugerah Atlet Muda Skuasy SG tahun ini sebagai mengiktiraf pemain muda yang telah mencapai keputusan konsisten dan menunjukkan persembahan di luar jangkaan - pertandingan setempat dan antarabangsa.
Sementara itu, sebagai penerima pertama Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat SSRA, Zainal menerima sijil, sebuah replika pepatung melambangkan beliau selain sebuah buku bergambar mengenai dirinya yang kini sedang diilhamkan.
"Mudah-mudahan anugerah ini akan dapat memberi inspirasi kepada golongan muda agar terus mencapai peringkat lebih tinggi - terutamanya dalam sukan skuasy yang sedang berkembang di negara ini," ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg