Seorang lelaki berusia 62 tahun meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, menjadikan jumlah kematian di Singapura akibat virus itu sebanyak 57 orang.

Lelaki itu disahkan positif Covid-19 pada 21 Julai, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan pada Khamis (9 September).

Beliau dimasukkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) kerana penyakit yang tidak mempunyai kaitan dengan Covid-19 pada 21 Julai dan mengalami penyakit lain seperti barah dan bronchiectasis.

Sementara itu, Singapura mencatatkan sebanyak 457 kes jangkitan pada Khamis, termasuk 450 kes masyarakat.

Jumlah tersebut dua kali ganda kes yang dilaporkan pada 2 September iaitu sebanyak 191 kes.

Sebanyak 108 daripada kes masyarakat yang dilaporkan merupakan warga emas berusia 60 tahun keatas.

Jumlah jangkitan Covid-19 di Singapura secara keseluruhan kini 70,039.

Dua kelompok jangkitan baru turut dikesan di Hu Lee Impex dab Sembcorp Marine Tuas Boulevard Yard.

Hu Lee Impex, kedai borong makanan segar di Chin Bee Avenue, melaporkan sembilan kes baru pada Khamis dengan sebanyak 22 kes berkaitan.

Menurut MOH tiada bukti jangkitan tersebut tersebar kepada isi rumah kes-kes itu.

Sementara itu, Sembcorp Marine Tuas Boulevard Yard mempunyai 14 kes baru, menjadikan jumlah kes keseluruhan sebanyak 32 orang. Kebanyakan kes tinggal di dormitori 38 Kian Teck Drive.

Kelompok di pusat pertukaran bas terus bertambah, dengan sebanyak 16 kes baru di Toa Payoh, Tampines, Boon Lay, Punggol dan Jurong East.

Bugis Junction kekal kelompok aktif terbesar dengan sebanyak 305 kes, selepas melaporkan lapan lagi kes berkaitan. Virus tersebut telah berjangkit kepada kakitangan pusat beli belah itu dan pengunjung.

Dua kes baru mempunyai kaitan dengan Hospital Besar Changi, yang kini mempunyai 61 kes.

Dalam pada itu, sebanyak 664 pesakit Covid-19 masih dirawat di hospital.

Ini termasuk tujuh dalam keadaan kritikal dan 26 yang memerlukan bantuan oksigen.