Lelaki 64 tahun belum divaksin korban Covid-19
SEORANG lelaki yang belum divaksin berusia 64 tahun telah meninggal dunia Isnin lalu akibat jangkitan Covid-19, kata Kementerian Kesihatan (MOH) kelmarin.
Rakyat Singapura itu batuk pada 2 Ogos dan telah dibawa ke Hospital Raffles keesokan harinya selepas mengalami masalah jantung.
Beliau mempunyai sejarah kegagalan ginjal tahap akhir, ischaemic cardiomyopathy, tekanan darah tinggi dan kolestoral tinggi, tambah pihak kementerian.
Ini merupakan kematian kesembilan akibat koronavirus pada Ogos.
Secara keseluruhan, 46 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi ekoran jangkitan Covid-19.
MOH mengumumkan satu kelompok baru dengan keseluruhan lima kes berkaitan dengan seorang individu.
Tujuh kelompok telah ditutup.
Dengan itu, kini terdapat 87 kelompok aktif baru, antara tiga dengan 1,155 jangkitan.
Sebanyak 53 jangkitan baru telah dilaporkan Rabu lalu dan daripada bilangan ini, 49 telah menular secara setempat.
Daripada kes tempatan, 23 dikaitkan dengan kes lama dan juga telah menjalani kuarantin.
Lagi tujuh kes yang dikaitkan tidak menjalani kuarantin apabila diuji positif.
Sejumlah 19 kes tidak mempunyai kaitan.
Empat kes yang diimport telah dikesan dan diasingkan sebaik tiba di Singapura.
MOH juga berkata bilangan kes baru dalam masyarakat telah berkurangan daripada 448 minggu sebelumnya kepada 316 minggu lalu.
Bilangan kes yang tidak mempunyai kaitan turun daripada 125 kepada 94 dalam tempoh sama.
Buat masa ini, 402 pesakit kini berada di hospital. Kebanyakannya dalam keadaan baik dan di bawah pemerhatian, kata MOH.
Dalam kalangan mereka yang berada di hospital, 26 memerlukan bantuan oksigen, manakala enam dalam keadaan kritikal berada di unit jagaan rapi.
Dalam kalangan mereka yang mengalami sakit teruk, 27 merupakan warga emas berusia 60 tahun ke atas, dan daripada golongan tersebut, 22 belum divaksin atau sudahpun mendapatkan satu dos vaksin.

