Seorang lelaki berusia 65 tahun akan didakwa pada Selasa kerana dipercayai mengajar doktrin yang bertentangan syariah Islam dan mengendalikan sekolah agama tanpa mendaftarnya dengan pihak berkuasa.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, polis berkata siasatan mula dijalankan ke atas lelaki itu setelah Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) membuat laporan polis terhadapnya pada 24 Ogos 2021.
Polis berkata siasatan tersebut sudah selesai dan setelah berunding dengan Pejabat Peguam Negara, lelaki itu akan didakwa atas dua tuduhan di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla).
Kesalahan pertama ialah dia didakwa mengajar doktrin dalam cara yang bertentangan dengan undang-undang Islam di Singapura antara 2004 dengan 2020.
Yang kedua ialah mengendalikan sekolah agama antara 2017 dengan 2020 di sebuah kafe di Jalan Pisang tanpa mendaftarnya dengan Muis, menurut satu kenyataan polis pada Isnin.
Jika disabitkan kesalahan mengajar doktrin dengan cara yang bertentangan dengan undang-undang Islam, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 12 bulan, denda sehingga $2,000 atau kedua-duanya sekali.
Kesalahan tidak mendaftar sekolah agama Islam membawa hukuman penjara sehingga 12 bulan, denda sehingga $2,000 atau kedua-duanya sekali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg