Seorang lelaki berusia 68 tahun yang merogol pembantu rumahnya pada 2020 ketika keluarganya berada di luar negara dijatuhi hukuman penjara 19 setengah tahun pada 24 Januari.
Serangan lelaki itu dirakam sebahagiannya oleh kamera litar tertutup (CCTV) dalam flatnya, yang menunjukkan tindakan seperti pergerakannya dan posisi tubuhnya, sedang wanita berkenaan dalam keadaan tidak responsif.
Pendakwa raya mendakwa lelaki itu melakukan pelbagai kesalahan seksual terhadap wanita tersebut, yang berusia 35 tahun pada waktu itu, selepas dia menawarkan wain dan “suntikan suplemen” kepada wanita itu.
Nama lelaki itu tidak boleh didedahkan di bawah perintah larangan untuk melindungi identiti wanita tersebut.
Dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi yang bermula pada Julai 2024, tertuduh menafikan dia melakukan perbuatan di bawah lima tuduhan yang dikenakan ke atasnya, lapor The Straits Times (ST).
Pada November 2024, Hakim Mavis Chionh mendapati lelaki itu bersalah bagi dua tuduhan merogol dan dua tuduhan mencabul kehormatan, tetapi membebaskannya daripada tuduhan serangan seksual melalui penetrasi kerana tidak disokong bukti.
Waktu perbicaraan, lelaki itu membela dirinya sendiri. Pada 24 Januari, selepas diberitahu hakim dia berhak membuat rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu, lelaki tersebut berkata dia mahu mendapatkan peguam bagi rayuannya.
Ikat jamin $80,000 dilanjutkan sementara menunggu rayuannya.
Pendakwa raya berkata sebelum tengah malam pada 6 Januari 2020, lelaki itu mengajak wanita tersebut menonton televisyen bersamanya, menawarkan wain dan suntikan suplemen tertentu, yang diterima oleh wanita itu.
Tertuduh melakukan serangan itu selepas memberi mangsa suntikan, sedang mangsa tidak dapat mempertahankan dirinya kerana pening dan lemah.
Rakaman daripada kamera di bilik tidurnya menunjukkan bahawa sebelum memberi suntikan itu, lelaki berkenaan sengaja mengalihkan kamera, menunjukkan niatnya melakukan perbuatan jahat terhadap mangsa.
Pada November 2024, ketika menjatuhkan hukuman bagi empat tuduhan, Hakim Chionh berkata keterangan wanita itu disokong rakaman CCTV dan pengakuan lelaki itu sendiri.
Hakim menolak dakwaan lelaki itu bahawa wanita tersebut memfitnahnya, sama ada kerana benci terhadap anak perempuannya yang merupakan majikan pembantu rumah itu, atau kerana ingin mendapatkan wang pampasan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg