Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki acu pisau pada leher wanita di Yishun didakwa miliki senjata bahaya

Jan 10, 2023 | 11:41 AM
Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK DINO KARISHMA
Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK DINO KARISHMA -

LELAKI yang didakwa menahan seorang wanita berusia 60 tahun dengan mengacukan pisau didakwa memiliki senjata serangan di tempat awam pada Selasa (10 Januari).

Kes Mohamed Faizal Mohamed Ariff dibicarakan kira-kira 10.30 pagi di Jabatan Pendaftaran Jenayah Mahkamah, dalam perbicaraan yang tidak terbuka kepada orang ramai.

Mohamed Faizal, 42 tahun, kini ditahan reman di Institut Kesihatan Mental untuk pemeriksaan kesihatan.

Dia ditahan pada Isnin selepas didakwa mengacu pisau pada leher seorang wanita di Blok 108 Yishun Ring Road.

Polis telah menerima panggilan bantuan pada kira-kira 7.35 pagi, dan apabila pegawai polis tiba di tempat kejadian, mereka melihat seorang lelaki memegang pisau dan mengacukannya ke leher seorang wanita.

Para pegawai polis bercakap dengannya sambil dia terus memegang wanita itu dan bergerak kira-kira 50 meter ke arah sebuah kedai kopi.

Pegawai polis ini kemudian melucutkan senjata dan menangkapnya. Keseluruhan episod berlangsung sekitar 20 minit.

Wanita itu mengalami kesan melecet pada dagu kanannya. Pisau itu dirampas.

Siasatan awal Biro Narkotik Pusat (CNB) mendapati air kencing lelaki itu didapati positif dadah terkawal.

Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti sama ada kesalahan yang disyaki berkaitan dengan dadah yang diambil.

Video kejadian yang disiarkan di Facebook menunjukkan pegawai Pasukan Tindakan Kecemasan Pasukan Polis Singapura (ERT) berada di tempat kejadian, memakai jaket kalis peluru dan bersenjatakan 'sub-machine gun'.

ERT ialah unit taktikal khusus dengan pegawainya dilengkapi dengan kemahiran taktikal dan serangan balas untuk bertindak balas terhadap serangan keganasan dan kes yang melibatkan senjata api dan senjata berbahaya, seperti pisau.

Mereka yang disabitkan kesalahan memiliki senjata serangan di tempat awam boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan dirotan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg