Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki Australia didakwa buat ancaman bom dalam pesawat Scoot

Oct 14, 2023 | 2:30 PM
AKIBAT ANCAMAN PALSU: Dua jet pejuang RSAF mengiringi penerbangan Scoot TR16 kembali ke Lapangan Terbang Changi pada 12 Oktober, setelah seorang lelaki didakwa membuat ancaman bom.
AKIBAT ANCAMAN PALSU: Dua jet pejuang RSAF mengiringi penerbangan Scoot TR16 kembali ke Lapangan Terbang Changi pada 12 Oktober, setelah seorang lelaki didakwa membuat ancaman bom. - Foto FACEBOOK MILITARY AVIATION PHOTOGRAPHY SINGAPORE

Seorang lelaki Australia berusia 30 tahun yang diberkas pada Khamis selepas didakwa membuat ancaman bom dalam penerbangan Scoot ke Perth telah didakwa pada Sabtu.

Hawkins Kevin Francis didakwa melakukan ugutan palsu berkenaan tindakan pengganas.

Pada sekitar 4.30 petang Khamis, dia didakwa menyebut “Saya ada bom” kepada seorang kru kabin dan menyebut perkataan “bom” berulang kali kepada yang lain, menurut dokumen mahkamah.

Pada 4.55 petang hari itu, polis dimaklumkan mengenai kes ancaman bom yang didakwa di dalam penerbangan TR16 dari Singapura ke Perth.

Siasatan awal menunjukkan semasa penerbangan, lelaki itu didakwa telah berulang kali memaklumkan kepada kru kabin bahawa dia memiliki bom, kata polis dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pesawat itu telah berlepas dari Singapura dan perlu berpatah balik ke Singapura diiringi jet pejuang Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) akibat ancaman tersebut.

Pesawat itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Changi pada 6.26 petang.

Demi keselamatan semua penumpang dan anak kapal, pegawai daripada Divisyen Polis Lapangan Terbang dan Unit K-9 Komando Operasi Khas telah dikerah untuk menyiasat ancaman bom, tambah polis.

Disebabkan langkah keselamatan tambahan yang dilaksanakan bagi memastikan keselamatan semua orang dalam penerbangan TR16, terdapat kelewatan lebih lima jam sebelum sembilan anak kapal dan 362 penumpang turun di Singapura pada 9.19 malam, kata polis.

Jurucakap syarikat penerbangan tambang murah Scoot berkata, pesawat itu telah meninggalkan Lapangan Terbang Changi pada 4.11 petang.

Penerbangan itu kemudiannya berlepas dari Singapura ke Perth pada 11.41 malam.

Ancaman bom didapati palsu, kata polis.

Tertuduh telah direman di Institut Kesihatan Mental untuk pemeriksaan kesihatan.

Kes itu akan dibicarakan semula pada 27 Oktober.

Jika jenayah berlaku dalam pesawat yang dikawal Singapura yang terbang ke luar negara, pesalah boleh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah undang-undang Singapura.

Jika didapati bersalah, pesalah boleh dipenjara hingga 10 tahun, didenda hingga $500,000, atau kedua-duanya sekali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg