Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki Australia sekongkol dengan doktor palsukan rekod vaksin dipenjara 16 minggu

Apr 28, 2023 | 5:30 AM
Hanya sekitar satu daripada 10 ibu bapa telah memerhatikan tanda-tanda kesedihan dan keresahan pada anak mereka, meskipun satu dalam tiga belia melaporkan simptom sedemikian.
Hanya sekitar satu daripada 10 ibu bapa telah memerhatikan tanda-tanda kesedihan dan keresahan pada anak mereka, meskipun satu dalam tiga belia melaporkan simptom sedemikian. -

SEORANG lelaki Australia yang bersekongkol dengan seorang doktor klinik umum untuk memalsukan rekod vaksin telah dipenjarakan selama 16 minggu pada Khamis.

David Christopher Newton, 44 tahun, mengaku bersalah atas satu pertuduhan menipu.

Pertuduhan kedua membabitkan isterinya, Wonglangka Apinya, 32 tahun, telah diambil dalam pertimbangan.

Newton, yang tidak menerima vaksin Covid-19 Sinopharm, membayar $6,000 kepada doktor klinik umum Jipson Quah, 35 tahun dan pembantunya ketika itu, Thomas Chua Cheng Soon, 41 tahun, untuk memalsukan rekod vaksin bagi dirinya dan isteri.

Newton, yang tidak mahu divaksinasi, ditawarkan pekerjaan oleh Commonwealth Bank of Australia dan menghadapi kesukaran memasuki Australia kerana dia tidak divaksinasi.

Dia menyertai kumpulan sembang khidmat mesej Telegram bagi kumpulan antivaksin Healing the Divide pada Disember 2021.

Melalui kumpulan sembang itu, dia mendapat nombor telefon Chua dan menghubunginya.

Pada 26 Disember 2021, Newton bertanya Chua sama ada dia boleh memalsukan rekod vaksinnya.

Dia juga bertanya sama ada isterinya boleh disahkan sebagai seorang tidak layak dari segi perubatan untuk divaksinasi, walaupun isterinya tidak memenuhi kriteria sedemikian.

Chua dan Quah kemudian membuat rancangan untuk pasangan itu mendapatkan vaksin palsu di klinik Quah dengan harga $6,000.

Newton bersetuju dan berbohong kepada isterinya bahawa dia telah membuat persiapan untuk mereka menerima vaksin Sinopharm.

Pasangan itu pergi ke klinik Quah pada 29 Disember 2021 dan 15 Januari 2022 untuk menerima dos palsu pertama dan kedua masing-masing.

Newton memastikan kededua suntikan itu selang 17 hari kerana dia tahu ia satu keperluan berdasarkan maklumat di laman web Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Di klinik, Quah memberitahu pasangan itu dia akan memberi mereka vaksin Sinopharm dan menunjukkan kepada mereka picagari berisi cecair sebelum menyuntik mereka.

Apinya menyangka dia disuntik dengan vaksin sebenar tetapi Newton tahu Quah sebenarnya menyuntik mereka dengan larutan garam.

Quah menyerahkan rekod vaksinasi palsu beberapa hari kemudian kepada Pejabat Pendaftaran Imunisasi Nasional (NIR).

Rekod tersebut menunjukkan Newton dan isterinya telah diberi vaksin sepenuhnya.

Pada Khamis, Timbalan Pendakwa Raya Etsuko Lim memberitahu mahkamah bahawa Newton adalah salah seorang daripada sekurang-kurangnya 17 orang yang diberi vaksin palsu oleh Quah.

Quah, Chua dan pengasas Healing the Divide, Iris Koh, 47 tahun, ditahan pada 21 Januari 2022.

Quah menghadapi 17 pertuduhan, Chua menghadapi tujuh dan Koh sembilan.

Mereka didakwa bersubahat menipu dan menyerahkan rekod vaksin palsu kepada Kementerian Kesihatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg