Seorang lelaki 49 tahun telah ditahan dan dibawa ke hospital pada 20 Januari selepas dia dikatakan membawa pisau di tempat awam dalam keadaan bogel, dan memanjat bumbung laluan pejalan kaki di estet perumahan awam Hougang.
Polis berkata ia menerima panggilan bantuan berhubung kes di Blok 623 Hougang Avenue 8 itu, pada 8.05 malam, 20 Januari.
Siasatan awal menunjukkan selepas lelaki itu dikatakan membawa pisau di tempat awam, dia pulang ke rumahnya di Blok 626 Hougang Avenue 8. Dia enggan membenarkan pegawai polis memasuki flatnya, menurut polis.
Lelaki itu kemudian membawa pencincang dan kuali, dan memanjat belebas dapur sebelum menuju ke bumbung laluan pejalan kaki yang terhubung dengan bloknya - dalam keadaan bogel, kata polis.
Memandangkan lelaki itu mungkin membahayakan dirinya sendiri, para pegawai daripada Unit Perundingan Krisis (CNU), cawangan bantuan Komand Operasi Khas (SOC), dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) memberi respons terhadap kejadian itu, kata polis.
Menurut laporan akhbar berbahasa Cina, Shin Min Daily News, seorang penduduk menceritakan bahawa lelaki itu memegang pisau dan telah berlegar-legar berhampiran sebuah kedai kopi.
Penduduk itu juga berkata tubuh lelaki itu berdarah sedikit, mungkin disebabkan kesan calar pada badannya selepas dia terlanggar dahan pokok - tempat dia cuba sembunyi ketika berada di laluan berbumbung itu, lapor The Straits Times (ST).
Selepas penantian tiga jam, sekitar tengah malam, polis akhirnya dapat menahan lelaki itu. Ini selepas dia terjatuh dari bumbung laluan pejalan kaki itu.
Dia diberkas kerana memiliki senjata serangan, berada di tempat awam dalam keadaan bogel, dan ditahan di bawah Akta Kesihatan Mental (Penjagaan dan Rawatan).
Dia mengalami cedera ringan dan berada dalam keadaan sedar ketika dibawa ke hospital.
SCDF berkata ia telah dihubungi sekitar 9.20 malam berhubung kes itu. Pasukan SCDF membawa seorang lelaki ke Hospital Besar Sengkang (SKGH).
Tiada orang lain cedera dalam kejadian itu. Siasatan polis masih dijalankan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg