Seorang lelaki mencipta akaun Facebook palsu menyamar sebagai seseorang yang tidak disukainya dan gunakannya untuk berkongsi kandungan anti-Islam.
Akibatnya, mangsa penyamaran telah disiasat oleh polis sekurang-kurangnya dua kali.
Orang sebenar di sebalik akaun itu, Chua Wang Cheng, 33 tahun, telah dikenakan tindakan pada 18 November.
Dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Akta Perlindungan daripada Gangguan, lapor The Straits Times.
Dia juga mengakui dua pertuduhan berkongsi kandungan dengan niat sengaja melukai perasaan umat Islam. Empat lagi pertuduhan serupa akan diambil dalam pertimbangan apabila hukuman dijatuhkan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa Chua sedang jalani perkhidmatan negara pada 2011 apabila dia bertemu dengan mangsa. Nama mangsa tidak boleh didedahkan kerana perintah sekatan.
Timbalan Pendakwa Raya Encik Samuel Chew berkata Chua tidak suka kepada mangsa kerana dia berasa mangsa sombong dan bersikap sinis terhadapnya.
Pada Februari 2019, Chua mencipta akaun Facebook menggunakan nama dan gambar mangsa. Dia juga menambah 627 pengguna lain sebagai “rakan” di Facebook.
Chua memuat naik gambar mangsa dan dokumen berkaitan dengannya, termasuk testimoni dan surat penghargaan daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Beberapa pengguna Facebook meninggalkan komen pada September tahun itu, menyatakan bahawa akaun tersebut palsu. Chua kemudian menyahaktifkan akaun tersebut.
Satu aduan mendakwa bahawa akaun tersebut mengandungi beberapa hantaran yang menimbulkan kebencian antara kaum dan agama di Singapura.
Mangsa kemudian disoal siasat oleh polis. Mangsa menjelaskan bahawa akaun Facebook itu bukan miliknya dan membuat laporan polis pada hari yang sama.
Chua kemudian mengaktifkan semula akaun Facebook tersebut, walaupun ia kemudian ditutup oleh syarikat media sosial kerana melanggar piawaian mereka.
Chua kemudian mencipta semula akaun Facebook dengan nama dan gambar mangsa sekali lagi.
Menggunakan akaun kedua, Chua berkongsi dua video YouTube dengan kandungan anti-Islam pada November 2019.
Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), yang menilai video-video tersebut, salah satu video dibuat dengan niat mempersendakan Islam dan Nabi Muhammad saw.
Muis berkata video kedua mengandungi kenyataan menghina Islam, Nabi Muhammad saw, dan komuniti Muslim secara keseluruhan.
DPP Chew berkata, walaupun Chua tidak hasilkan video-video tersebut, dia berkongsi video itu dengan niat sengaja menyakitkan perasaan pengguna Facebook Muslim.
Tiga orang membuat laporan polis terhadap akaun Facebook kedua pada Oktober 2020. Mangsa dipanggil untuk disiasat lagi tahun itu.
Dokumen mahkamah tidak menyatakan bagaimana Chua akhirnya ditangkap, tetapi dia mengaku bersalah semasa siasatan polis.
Mangsa berkata dalam laporan polis bahawa beliau alami tekanan psikologi dan profesional akibat reputasinya yang tercemar.
Hakim Daerah Carol Ling menangguhkan hukuman kepada 16 Disember.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg