SEORANG lelaki berusia 28 tahun diberkas kerana dipercayai terlibat dalam satu siri penipuan perdagangan elektronik, atau e-commerce, yang membabitkan penjualan perkakas kereta.
Polis berkata semalam ia menerima beberapa laporan antara Mac dengan bulan ini oleh beberapa mangsa yang menyatakan mereka dipercayai ditipu oleh seorang penjual dalam talian yang telah menyiarkan iklan penjualan peralatan kereta.
Selepas mangsa membuat bayaran menerusi pemindahan wang dalam bank, si penjual dikatakan gagal menghantar produk yang dibeli itu.
Menurut siasatan awal, kata polis, lelaki itu dikatakan terlibat dalam kes serupa yang lain.
Dia didakwa di mahkamah semalam atas kesalahan menipu.
Mereka yang disabit kesalahan itu boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan didenda.
Polis menasihatkan orang umum supaya hanya membeli barang daripada penjual rasmi atau yang diyakini, terutamanya bagi produk yang berharga.
Orang ramai dinasihatkan supaya memilih kaedah perlindungan pembeli yang akan hanya mengeluarkan bayaran kepada penjual selepas produk dihantar kepada pembeli.
Sebaik mungkin, pembeli digesa agar tidak membuat bayaran pendahuluan atau membuat pemindahan wang menerusi bank secara langsung kepada penjual.
Penipu juga boleh mempengaruhi pembeli untuk menghubungi mereka secara langsung menerusi wadah kiriman mesej seperti WhatsApp atau WeChat dengan menawarkan pilihan penjualan lebih pantas jika pembeli memindahkan wang secara langsung menerusi bank kepada mereka.
Untuk membuat pembeli percaya bahawa si penjual itu adalah penjual yang diyakini, penipu juga boleh menggunakan akaun bank tempatan serta menawarkan butiran kad pengenalan atau lesen pemandu mereka.
Untuk menerima maklumat lanjut berkait penipuan, orang umum boleh melayari laman scamalert.sg atau menghubungi talian cegah penipuan 1800-722-6688.
Mereka yang mempunyai maklumat berkenaan penipuan boleh menghubungi talian polis 1800-255-0000 atau melungsuri laman www.police.gov.sg/iwitness untuk menghantar maklumat tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg