SEORANG lelaki muda yang didakwa membawa senjata, termasuk pembalut buku jari yang disembunyikan dalam seluar dalamnya, diheret ke mahkamah selepas polis mengejar dan memberkasnya di Bencoolen Street Selasa lalu (13 September).

Pagi tadi (15 September), Mohamed Danish Amsyar Ai Amran, 21 tahun dikenakan empat tuduhan bagi kesalahan termasuk memiliki pembalut buku jari berwarna kelabu dan sebatang baton yang boleh dipanjangkan berwarna emas di tempat awam.

Danish juga didakwa memotong tag sistem pemantauan elektronik yang sepatutnya dipakainya menyusuli satu kesalahan lalu dan membuangnya pada 4 Ogos lalu.

Dia didakwa gagal melaporkan diri kembali ke Kompleks Penjara Changi malam itu sebagai sebahagian daripada skim pelepasan kerjanya, yang membenarkan banduan dibebaskan untuk bekerja menjelang akhir tempoh hukuman mereka.

Danish tidak diberikan ikat jamin dan akan kembali ke mahkamah pada 30 September ini.

Dalam satu kenyataan semalam, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan Danish cuba mengelak para pegawai yang sedang meronda di Cheng Yan Place di Bugis sekitar 2 petang apabila mereka menangkapnya dengan senjata-senjata tersebut dan ingin memeriksanya.

Namun Danish tidak mengindahkan arahan agar dia berhenti, dan sebaliknya melarikan diri.

Para pegawai itu kemudian mengejarnya dan akhirnya berjaya menangkapnya di Bencoolen Street.

Danish dikesan memiliki baton 50 sentimeter yang boleh dipanjangkan yang dijatuhkannya ke lantai selepas salah seorang pegawai polis menghalakan Taser ke arahnya namun tidak melepaskan tembakan.

Polis berkata mereka terpaksa menggunakan paksaan untuk menahannya.

Pembalut buku jari itu ditemui disembunyikan dalam seluar dalamnya.

Dia diberkas dan tiada siapa yang cedera semasa insiden tersebut.

Atas memiliki senjata ofensif, pesalah boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan diberi enam kali sebatan dengan rotan.