SEORANG lelaki berusia 35 tahun yang cuba memeras hampir setengah juta dolar dari bank Standard Chartered didakwa di mahkamah hari ini.

Nagarajan Balajee, seorang warga India, didakwa cuba memeras dan menghadapi tempoh penjara antara dua hingga lima tahun dan sebat, jika didapati bersalah.

Menurut dokumen mahkamah, Balajee dikatakan mengancam untuk menerbitkan kenyataan bertulis palsu atau libel tentang Encik Aalishaan Zaidi, 47 tahun, ketua perbankan digital sedunia di StanChart, jika beliau tidak memberikannya $500,000.

Balajee ditangkap Ahad lalu di Kovan Road.

Beberapa komputer riba dan telefon bimbit dirampas daripadanya berkaitan kes tersebut, menurut polis.

Bank itu telah membuat laporan polis Khamis lalu tentang bagaimana ia telah menerima ancaman bahawa maklumat sulit akan didedahkan.

Balajee dipercayai menggunakan beberapa emel palsu untuk menghantar ancaman tersebut kepada bank itu tanpa mendedahkan nama atau identitinya.

Siasatan awal polis menunjukkan bahawa dia mungkin telah menggunakan telefon bimbit dan khidmat rangkaian privet virtual (VPN) yang berdaftar di luar negara untuk menyembunyikan identitinya, dan mengelak daripada ditemui.

VPN membolehkan kandungan tidak sah (unauthorised) dari luar negara untuk diperolehi pengguna.

Balajee kini dibebaskan dengan jaminan $20,000 dan akan kembali ke mahkamah pada 30 Oktober.