Seorang lelaki dipercayai menyerang dua wanita, berusia 30 tahun dan 82 tahun, dengan menggunakan pemegang besi dumbel, semasa melakukan satu percubaan merompak pada siang hari di Tampines, pada 12 Mei.
Pada 14 Mei, Mohamad Hairil Mohamad Salleh, 40 tahun, dihadapkan ke mahkamah atas satu tuduhan percubaan merompak dengan senjata.
Dia dituduh menyasar dua wanita tersebut di lobi lif tingkat bawah, Blok 287 Tampines Street 22, sekitar 1.30 petang pada hari kejadian.
Menurut polis, lelaki warga Singapura itu mendekati dua wanita tersebut dan dikatakan meminta mereka menyerahkan barangan berharga mereka.
Apabila kededua wanita itu tidak berbuat demikian, dia dikatakan menggunakan sebatang besi untuk menyerang mereka.
Kededua wanita itu mengalami kecederaan dan berada dalam keadaan sedar semasa dibawa ke hospital, lapor The Straits Times.
Dokumen mahkamah dan polis tidak menyatakan bagaimana dua wanita itu melarikan diri daripada penyerang tersebut, atau memberi butiran kecederaan mereka.
Melalui rakaman kamera polis dan kamera litar tertutup (CCTV), pegawai polis dapat mengenal pasti dan menahan lelaki itu.
Kes Mohamad Hairil akan disebut semula di mahkamah pada 21 Mei.
Jika didapati bersalah, dia boleh dipenjara antara lima dengan 20 tahun dan disebat sekurang-kurangnya 12 kali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg