SEORANG lelaki berusia 34 tahun didakwa di mahkamah daerah pada Rabu (16 Februari) kerana cuba menyogok seorang pegawai polis trafik.
Krishna Rao Narisama Naidoo, yang berdepan dengan dua tuduhan rasuah, didakwa menawarkan $55 kepada Sarjan Firhan Abdul Rashed, pada 21 November tahun lalu di kawasan Pioneer Road.
Warga Malaysia itu dikatakan cuba memberi pegawai itu $5 dan $50 secara tunai untuk memujuknya agar tidak menyiasatnya kerana satu kesalahan trafik.
Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) berkata Sarjan Firhan menolak sogokan itu dengan kes itu kemudian dirujuk kepada biro tersebut.
Krishna kini dibebaskan dengan ikat jamin $7,000 dan akan kembali ke mahkamah pada 2 Mac.
Jika didapati bersalah, dia boleh didenda hingga $100,000 dan dipenjara hingga lima tahun bagi setiap kesalahan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg