SEORANG lelaki 33 tahun didakwa di mahkamah semalam atas tuduhan mengganggu ketenteraman awam menyusuli insiden di Taman East Coast.

Menurut polis, warga Singapura berbangsa India itu akan didakwa atas "perintah mahkamah untuk menahan lelaki tersebut untuk penilaian psikiatrik".

Lelaki itu juga akan disiasat atas kesalahan mengeluarkan kata-kata yang bertujuan menyinggung perasaan kaum lain, menyebabkan kecederaan secara sukarela dan mengganggu dengan sengaja, menurut polis dalam satu kenyataan.

Pihak polis telah menerima panggilan minta bantuan dari tempat letak kereta F2 di Taman East Coast pada 1.50 pagi Jumaat lalu.

Siasatan awal menunjukkan lelaki tersebut didakwa melaungkan kata-kata rasis terhadap dua kumpulan lelaki berbangsa Cina dan menyerang salah seorang daripada mereka, tambah polis.

Suspek tidak lagi berada di tempat kejadian apabila polis tiba, tetapi berjaya dikenal pasti selepas itu dan ditahan.

Seorang lelaki berusia 21 tahun telah dihantar ke hospital dalam keadaan sedar dan diberikan rawatan.

Menurut polis, tindakan keras akan diambil ke atas mereka yang menjejas keharmonian Singapura.

Kesalahan mengeluarkan kata-kata dengan tujuan sengaja untuk menyinggung perasaan kaum lain boleh dikenakan penjara sehingga tiga tahun, saman sehingga $5,000 atau kededuanya sekali.

Mereka yang didapati bersalah mengganggu ketenteraman awam pula boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga bulan, saman sehingga $2,000 atau kededuanya sekali.

Mereka yang didapati bersalah mencederakan seseorang dengan sengaja boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, saman sehingga $5,000 atau kededuanya sekali sementara mereka yang didapati bersalah mengganggu secara sengaja boleh menghadapi hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga $5,000 atau kededuanya sekali.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti