Seorang lelaki dipercayai telah beberapa kali menggunakan sijil cuti sakit (MC) palsu untuk ponteng kerja di Ibu Pejabat Divisyen Polis Jurong, di mana dia menjadi Anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF).
Muhammad Ayyub Mohd Rafie dituduh melakukan kesalahan tersebut dari November 2021 hingga Mac 2022.
Apabila ditanya akhbar The Straits Times (ST), pihak polis berkata Ayyub, 21 tahun, sebelum ini berpangkat Konstabel Khas dan dia telah selesaikan perkhidmatan negaranya pada 6 October 2022.
Pada Rabu, dia didakwa di mahkamah daerah atas lima pertuduhan pemalsuan dan satu pertuduhan menipu identiti diri.
Dia berada di Ibu Pejabat Divisyen Polis Jurong pada November 2021 apabila dia dipercayai menggunakan MC palsu yang kononnya dikeluarkan oleh Pusat Perubatan NuHealth, yang menyatakan dia tidak sihat untuk bekerja dari 10 November hingga 11 November.
Dia juga didakwa atas kesalahan serupa empat kali lagi dari Disember 2021 hingga Mac 2022.
Dalam kes berasingan, dia dikatakan telah menipu Foodpanda Singapore pada Ogos 2021, dengan menggunakan identiti orang lain untuk memohon akaun rider dengan syarikat penghantaran makanan tersebut. Foodpanda Singapore dipercayaitelah meluluskan permohonan itu.
Ayyub dijangka mengaku bersalah atas kesalahan tersebut pada 19 Julai 2023.
Dalam satu kenyataan, polis berkata: “Pegawai SPF, termasuk pegawai perkhidmatan negara, harus mematuhi undang-undang dan memastikan ya ia dikekalkan dengan standard kelakuan dan integriti tertinggi. Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang, dan akan mendakwa mereka di mahkamah.”
“Sejak kejadian (penipuan) ini, SPF telah menjalankan siasatan terhadap (Ayyub). Kami tidak boleh mengulas lanjut tentang hal ini kerana kes ini masih dikendalikan di mahkamah.”
Bagi setiap pertuduhan pemalsuan, pesalah boleh dipenjarakan sehingga empat tahun dan denda.
Dan bagi kesalahan menipu idenditi diri, pesalah boleh dipenjarakan untuk sehingga lima tahun dan akan didenda.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg